Hentikan siasatan ke atas penganjur ‘Women’s March’

Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru pihak polis menghentikan siasatan ke atas penganjur perarakan ‘Women’s March’ yang berlangsung pada pagi 13 Mac di hadapan Kompleks SOGO dan Dataran Merdeka.

“Kami menyeru pihak PDRM hentikan segala siasatan terhadap aktivis-aktivis yang terlibat dalam perarakan ‘Women’s March’,” kata pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan media.

“Kami menuntut agar kerajaan baharu di bawah tampuk pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membawa perubahan terutamanya memperkasa perlindungan kebebasan bersuara dan berhimpun rakyat jelata.”

Para penganjur dan peserta telah diminta merekodkan kenyataan mereka berhubung perarakan tersebut semalam. Antara yang turut dipanggil termasuk timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan.

Perarakan tersebut mahukan gaji yang setara untuk wanita dan penamatan amalan perkahwinan kanak-kanak.

Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bagi menyiasat perarakan tersebut.

Suaram berpandangan tindakan polis terhadap peserta perarakan adalah satu intimidasi terhadap masyarakat sivil yang mengekang hak dan membisukan rakyat terhadap isu-isu berkaitan wanita dan kanak-kanak.

Suaram menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan berhimpun sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.

“Kami berpendapat bahawa amalan-amalan demokratik ini seharusnya dimanfaatkan dan dilihat sebagai salah satu advokasi akar umbi dalam pemerkasaan sistem demokrasi berparlimen kita malah diterima sebagai norma baharu.”

Sevan turut mengingatkan bahawa negara mempunyai tanggungjawab positif untuk memudah dan melindungi perhimpunan aman.

“Ini adalah tanggungjawab utama negara untuk menetapkan mekanisme yang mencukupi bagi memastikan bahawa kebebasan itu diamalkan secara praktikal dan tidak terikat kepada peraturan atau proses birokratik yang membebankan.

“Polis, khususnya, harus berusaha untuk memudahkan perhimpunan awam dan melindungi keselamatan peserta-perserta.”