Kisah bakeri dan roti benggali
Sering kali nama lazim yang digunakan tidak menggambarkan hakikat sebenar dan sejarah sesuatu produk. Saya ingin menggunakan Ipoh Bakery dan roti benggali sebagai contoh untuk membantu kita merenung perkara ini secara lebih mendalam dalam kehidupan seharian.
Bagi penduduk asal serta pengunjung ke Taiping, Perak, kedai roti Ipoh Bakery di Jalan Taming Sari merupakan salah satu tarikan bersejarah dan penuh nostalgia.
Sebagai individu yang lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, semasa kecil, saya sering tertanya-tanya mengapa Ipoh Bakery terletak di Taiping dan bukannya di Ipoh.
Kedai kek dan roti itu kini diuruskan pasangan bapa dan anak lelaki yang merupakan generasi ketiga dan keempat kepada pengasas kedai tersebut.
Hasil carian mendapati perusahaan ini dimulakan pada tahun 1918 oleh seorang individu bernama Tan Kooi Chee.
Beliau merupakan lelaki yang berasal dari wilayah Hainan, China dan datang ke Malaya pada tahun 1909.
Pada mulanya, Kooi Chee menjadi pekerja di sebuah kilang membuat roti milik seorang lelaki Pakistan di Jalan Boo Bee (yang dinamakan sempena Ng Boo Bee, tapi itu cerita lain pula).
Hasil wang simpanan yang terkumpul membolehkan Kooi Chee membuka Yee Pow Bakery di Jalan Kota, Taiping.
Dalam bahasa Cina, kata “yee” bermakna “harmoni” manakala “pow” bermakna “terlindung” atau “dilindungi”.
Nama tempat bernama Ipoh juga mempunyai makna yang sama; sebagaimana Taiping membawa makna “keamanan yang berkekalan”.
Untuk konteks, Kuala Kangsar menjadi ibu negeri Perak di bawah pentadbiran British pada tahun 1874 sebelum diambil alih oleh Taiping (1876 – 1937) dan kemudian oleh Ipoh sehingga kini.
Nama Yee Pow Bakery ditukar kepada Ipoh Bakery mengikut peredaran zaman.
Pada 11 November 2018, sambutan ulang tahun ke-100 diadakan bagi bakeri berkenaan yang tetap menjadi antara tarikan bagi pengunjung ke Taiping.
Ipoh Bakery turut terkenal kerana masih setia membekalkan roti Hainan ke kedai-kedai kopi di bandar warisan itu.
Bercakap tentang roti, satu lagi jenis roti yang dikenali umum ialah roti benggali.
Ada pelbagai jenis roti di pasaran
Walaupun ada pelbagai jenama dalam pasaran, ramai orang masih memilih roti benggali yang dianggap lebih sedap dan asli kerana tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.
Sebenarnya, kita melakukan dua kesalahan utama apabila menggunakan nama “roti benggali” bagi makanan itu.
Apabila bercakap tentang roti benggali, kita secara automatik mungkin membayangkan ia dijual oleh orang Benggali atau India-Muslim (mamak).
Orang Benggali yang kita bayangkan pula lelaki berjanggut dan berserban (turban).
Sebenarnya, kita sedang membayangkan lelaki Punjabi beragama Sikh yang nenek moyangnya berasal dari wilayah Punjab, India.
Orang Bengali pula sebenarnya merujuk kepada komuniti yang berasal dari wilayah Bengal iaitu kawasan yang kini terletak sebahagian di India dan sebahagian lagi di Bangladesh.
Maka, kini kita sudah tahu bahawa roti benggali tidak ada kaitan dengan orang Punjabi dan juga orang Bengali.
Malah, sebenarnya nama yang kita gunakan bagi roti itu juga tidak tepat dan hakikat ini akan disedari jika kita cuba memahami sejarah dan asal usul roti berkenaan.
Roti canai adalah roti perata (porata) yang berasal dari India tetapi roti benggali pula tiada kaitan dengan Punjab atau Bengal.
Sebaliknya, sejarah roti itu bermula di Pulau Pinang apabila seorang lelaki India-Muslim bernama Sheikh Mohamed Ismail membuka sebuah bakeri di Jalan Transfer, George Town pada tahun 1928.
Kedai roti itu dinamakan British Malaya Bakery pada 1932 tetapi ditukar kepada Malaya Bakery semasa zaman penjajahan Jepun (1942 – 1945).
Perniagaan tersebut terus maju dan membekalkan roti kepada pengguna dan restoran di wilayah utara, khasnya Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Resepi bagi roti putih gebu yang dihasilkan dibawa dari India dan segera mendapat sambutan pembeli dan pengguna di Pulau Pinang.
Nama Malaya Bakery bertukar kepada Ismalia Bakery apabila diambil alih oleh generasi baharu pada tahun 1964.
Sayangnya, perniagaan mula berkurangan sehingga terpaksa ditutup menjelang hujung tahun 1990-an.
Hampir sedekad kemudian, pada tahun 2007, pengusaha baharu memulakan perniagaan di premis sama dengan nama Maliia Bakery.
Kalau dahulu penjual roti benggali pergi ke ceruk rantau menunggang basikal dan kemudian motosikal, kini kita boleh melihat penjual roti benggali menggunakan van serba moden.
Selain daripada Maliia Bakery, dua lagi pengusaha roti benggali yang terkenal di Pulau Pinang ialah Patchee Bakery di Jalan Datuk Keramat dan Uni Bakery di Jalan Kampung Pisang.
Berbalik pula kepada nama “roti benggali” yang saya katakan tidak tepat penggunaannya.
Untuk memahami fakta sebenar, kita perlu tahu bagaimana Mohamed Ismail yang berasal dari Madras (Chennai) memulakan perniagaan roti pada tahun 1928.
Beliau tidak memulakannya secara sendirian, sebaliknya dengan kerjasama beberapa rakan kongsi (partner) yang turut menjadi memegang saham (share).
Dalam bahasa Tamil dan Malayalam, istilah yang digunakan untuk “rakan kongsi” ialah “panggali”.
Istilah “panggu” juga lazim digunakan orang Melayu di Perak dan Pulau Pinang di mana ia membawa makna “bahagian” sebagaimana dalam istilah asal Tamil.
Maka, roti warna putih yang dijual oleh British Malaya Bakery tidak dipanggil “roti mamak” tetapi dikenali sebagai “roti panggali” oleh orang ramai.
Bercakap tentang Pulau Pinang, saya suka mengambil frasa “Jaati Bukkan” sebagai contoh.
Pada masa silam, orang Jawi Peranakan iaitu India-Muslim atau anak-anak hasil perkahwinan lelaki India dan wanita Melayu digelar “Jawi Pekan”.
Gelaran “Jawi Pekan” kemudian bertukar sebutan kepada “Jaati Bukkan” sehingga generasi muda tidak tahu konotasi dan konteks asal.
Begitulah juga, dalam kes roti panggali, sebutan yang digunakan mula berubah kepada “roti benggali”.
Sebagaimana dalam kisah “Jaati Bukkan”, generasi muda tidak tahu asal usul nama “roti benggali”.
Mulai hari ini, apabila menikmati roti berkenaan, anda tahu nama sebenarnya ialah roti panggali.
Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.
BACA JUGA: Amelia Earhart di Taiping