Malaysia MADANI telah gantikan Wawasan Kebangsaan Bersama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan Malaysia MADANI telah menggantikan Wawasan Kebangsaan Bersama 2030 yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Pengenalan Malaysia MADANI sebagai langkah mengangkat semula martabat negara bangsa Malaysia MADANI yang tertegak berteraskan prinsip kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan menuju Malaysia baharu yang megah di persada dunia telah menggantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030),” kata Armizan dalam jawapan bertulis kepada Jamaluddin Yahya (Pasir Salak-PN).

“WKB 2030 tidak lagi menjadi asas rujukan utama dalam merangka halatuju pembangunan negara. Walau bagaimanapun, beberapa inisiatif yang telah dirancang sebelum ini yang memberikan impak dan manfaat kepada rakyat masih diteruskan.”

Berkaitan dengan dasar agenda Bumiputera pula, Armizan berkata bahawa ia terus menjadi agenda nasional untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang adil, saksama dan inklusif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Armizan menambah bahawa inisiatif tertentu diusahakan untuk mengangkat agenda Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan telah merangka beberapa strategi dan inisiatif untuk memacu pembangunan ekonomi Bumiputera antaranya mempertingkat literasi dalam pengurusan kewangan dan pelaburan serta menggalakkan penjanaan pendapatan tambahan termasuk memanfaatkan platform digital dalam bidang keusahawanan.”

Beliau menambah bahawa kerajaan turut menyasarkan pembangunan ekonomi melangkaui geografi, pembangunan ekonomi bersasar untuk kehidupan bermaruah dan pemilikan aset kewangan dan bukan kewangan bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.

BACA JUGA: Telapak tangan logo Malaysia Madani, jalan ke depan untuk negara