Parlimen: PM Anwar jelaskan sasaran pengurangan defisit tanpa bebankan rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelaskan usaha kerajaan dalam mencapai sasaran pengurangan defisit tanpa menjejaskan kebajikan rakyat dan pembangunan negara madani di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan aturan mesyuarat, perkara itu menjadi soalan pertama dalam sesi pertanyaan menteri dibangkitkan oleh Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).

Beliau mengemukakan soalan bagaimanakah sasaran pengurangan defisit daripada 5.6 peratus tahun 2022 kepada 3.2 peratus tahun 2025 seperti yang telah dibentangkan dapat dicapai tanpa menjejaskan kebajikan rakyat dan pembangunan negara Madani.

Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut diajukan tentang sejauh mana kekuatan fiskal negara ekoran mata wang Ringgit melemah dan penyelesaian kerajaan bagi mengimbangi situasi tersebut.

Soalan tersebut dinyatakan wakil pembangkang Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PAS-Kuala Terengganu).

Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) pula meminta Perdana Menteri menyatakan usaha penambahbaikan tata kelola kerajaan dari segi perolehan, pengagihan projek dan peruntukan.

Beliau bertanya bagaimana usaha itu mampu memberi impak secara menyeluruh agar selari dengan corak dasar Madani dalam memerangi segala penyalahgunaan kuasa dan ketirisan.

Pada kebiasaannya sesi pertanyaan melibatkan Perdana Menteri menjadi tumpuan termasuk pencelahan dibuat kedua-dua penyokong kerajaan dan pembangkang.

Selain persoalan ekonomi, Dewan Rakyat hari ini turut akan menyentuh soal perkembangan Zoo Negara dan Zoo Taiping kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Penyokong kerajaan Wong Kah Woh (PH-Taiping) meminta pihak menteri menyatakan jumlah peruntukan yang telah diberikan kepada Zoo Negara dan Zoo Taiping sejak tahun 2018
sehingga kini.

Selain itu, beliau juga meminta data terkini jumlah pelancong yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Wakil pembangkang Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula meminta Menteri Luar menyatakan langkah yang telah diambil oleh Wisma Putra dalam membantah perbuatan membakar kitab suci Al-Quran oleh salah seorang ahli politik sayap kanan Sweden di Stockholm baru-baru ini.

BACA JUGA: Jangan guna temberang, PM Anwar tempelak pembangkang baca buku belanjawan