Penggerak Belia Selangor diperkasa, dedah pengetahuan politik semasa

Pemerkasaan peranan Penggerak Belia Selangor (PeBS) adalah penting sebagai pembawa mandat kerajaan negeri bagi merealisasikan pembangunan belia di peringkat akar umbi, kata Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor.

Menurut Mohd Khairuddin Othman, golongan belia khususnya di Selangor perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang situasi politik semasa dalam negara agar mereka tahu dan sedar mengenai tanggungjawab dan peranan mereka.

“Pada tahun ini, antara cabaran di kalangan PeBS adalah untuk memberi penjelasan sebenar kepada belia yang tertipu oleh media sosial seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Ini cabaran besar untuk menangani isu perkauman, kreadibiliti kepimpinan dan sebagainya,” katanya semasa sesi pertanyaan mulut sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai prestasi penggerak belia di negeri itu.

Khairuddin berkata, kerajaan negeri akan mengadakan Karnival Penggerak Belia Selangor 2023 dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan yang celik politik agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

“Kita akan memberikan kefahaman yang betul daripada segi ‘political literacy’ (celik politik). Oleh sebab itu, ada di kalangan PeBS ini yang dihantar ke kem bina semangat di bawah sistem modal insan.

“Tetapi masih ada lagi PeBS yang masih lagi tidak berminat untuk kita menanam dan memberikan kesedaran terhadap politik,” katanya.

Katanya, fokusnya adalah tertumpu untuk menjadikan kerajaan negeri stabil daripada segi politiknya, kekuatan ekonomi dan menangani isu perkauman yang sensitif.

Menurut Khairuddin yang juga wakil rakyat Paya Jaras, pada tahun 2021 dan 2022, sebanyak 559 program atau aktiviti yang telah dijalankan oleh PeBS dalam negeri Selangor.

Tambahnya, kerajaan negeri turut berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh PeBS dengan menaikkan perbelanjaan berjumlah RM2.14 juta pada tahun 2021  menjadi sebanyak RM2.50 juta pada tahun 2022.

Mulai Januari 2021, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dijenamakan semula kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang memainkan peranan sebagai ejen penggerak agenda pembangunan belia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Pencalonan PeBS adalah berdasarkan cadangan nama daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri atau Penyelaras DUN di Negeri Selangor.