PM beri jala untuk rakyat, pembangkang perlu henti hasut rakyat keluar KWSP

Parti pembangkang perlu berhenti hasut rakyat agar terus mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sepatutnya menjadi tabungan untuk waktu bersara nanti.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata bantahan ahli politik pembangkang terhadap cadangan Perdana Menteri membenarkan simpanan KWSP dicagar untuk mendapat pinjaman adalah permainan politik yang tidak bertanggungjawab.

MOHAMMAD AGUS YUSOFF

“Cadangan ini dibantah oleh NGO dan ahli politik pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak membantu pencarum yang terhimpit dengan keadaan ekonomi.

“Permainan politik sebegini adalah cukup tidak bertanggungjawab. Bahaya Malaysia bila ada orang politik semacam ini. Sedih bila ada orang politik mengapi-apikan rakyat supaya membenci dan menolak cadangan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 9 Mac lalu, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengemukakan cadangan membenarkan pihak yang terdesak dan mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun KWSP mencagarkan caruman mereka di bank.

Mohammad Agus berkata sebagai simpanan hari tua, pengeluaran KWSP tidak boleh dikeluarkan sehinggalah berumur 55 tahun atau pencen tetapi semasa negara dilanda Covid-19, kerajaan membenarkan tabungan itu dikeluarkan bagi meringankan beban rakyat.

“Memikirkan masa depan rakyat di hari tualah, DSAI mencadangkan idea untuk cagarkan KWSP. Beliau sediakan jala untuk rakyat mencari ikan, bukannya memberi rakyat makan ikan.

“Cadangan PM ini baik dan praktikal. Duit KWSP yang jadi cagaran itu masih dalam simpanan. Tiap tiap tahun dividend bertambah. Kalau tidak bayar, barulah bank mengambil cagaran itu,” katanya.

Muhammad Agus berkata sekurang-kurangnya inisiatif Perdana Menteri dengan membenarkan simpanan KWSP sebagai cagaran dan dipersetujui pihak bank adalah satu solusi untuk rakyat.

“Modal KWSP tidak hilang. Dividen KWSP yang bayarkan pinjaman bank. Kalau keluarkan simpanan KWSP bukan sahaja duit tidak ada, dividen pun tidak dapat,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan pihak yang menentang cadangan Perdana Menteri agar “hentilah apikan rakyat, sebaliknya berilah cadangan yang lebih bernas”.

“Didik rakyat supaya bijak berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak,” ujarnya.

Sebaliknya beliau berkata, rakyat perlu mendesak kerajaan hapuskan rasuah, buka peluang pekerjaan, kawal harga barang dan seumpamanya yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Memahami DSAI, beliau adalah terbaik dalam mengajar rakyat berhemah, mengajar mengurus kewangan keluarga, mengajar rakyatnya berdikari.

“Pembangkang, hentilah hasut rakyat dan bimbinglah mereka supaya berjimat,” katanya.

BACA JUGA: Anwar: Wang KWSP sebagai jaminan pinjaman tanpa pengeluaran