‘Saya tak peduli, kalau kamu rasuah atau curi wang, bayar balik’ – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk menyekat kebocoran pembayaran wang cukai terutama dalam kalangan golongan ‘maha kaya’.
Menurutnya beliau tidak akan bertolak ansur dengan golongan itu termasuk jika cuba melarikan wang ke luar negara untuk mengelak cukai.
“Bila saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saya beritahu selalunya golongan maha kaya ini dia elak bayar cukai dan ada perlindungan. Ini bukan perkara baru.
“Saya beritahu kita jangan tolak ansur, orang maha kaya juga perlu dipastikan membayar cukai. Jangan melarikan wang keluar negara
“Ini berlaku dan sebab itu saya sudah arahkan semua siasatan dilakukan termasuk “Pandora Paper”. Malangnya ada Yang Berhormat mempertahankan pelari cukai ini konon kes lama. Saya tidak peduli kes lama atau baru. Kalau kamu tipu atau rasuah atau curi wang negara, bayar balik,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang-PN) berkenaan bilakah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diperkenalkan, Anwar menegaskan bahawa ia belum boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan semula kerana pendapatan rakyat masih rendah.
Ujarnya, beliau sejak dulu berpendirian bahawa GST adalah sebuah sistem percukaian yang efisien dan telus, tetapi Malaysia belum bersedia untuk melaksanakannya.
Begitupun buat masa ini kata Anwar, kerajaan telah memperkenalkan “Capital Gain Tax” dan cukai bagi barang mewah yang dianggap memadai untuk menambah perolehan.
“Kita belum bersedia sebabnya tahap pendapatan rakyat itu masih rendah. Jadi saya tidak fikir dalam 6 bulan atau 1 tahun kita boleh pertimbangkan
“Pendapatan rakyat mesti naik dulu. Semua negara yang melaksanakan GST termasuk Singapura, Kanada atau New Zealand, itu dikira pendapatan minima rakyat agak munasabah untuk hidup.
“Namun sekarang ini masih terlalu ramai miskin tegar, dan B40. Jadi tak boleh dipertimbangkan buat masa sekarang,” ujarnya.
Baca juga: ‘Ada buktikah saya campur tangan untuk dakwa sesiapa?’ – Anwar kepada PN