Selangor pertimbang tapak tanah Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

Negeri Selangor sedang mempertimbangkan beberapa pilihan tapak tanah di negeri itu sebagai proses pertukaran tanah untuk membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri ketika ini sedang melihat kos keseluruhan pembinaan KSSA dan penelitian terhadap kawasan yang akan dilakukan secara pertukaran tanah itu perlulah sama nilainya dengan kos keseluruhan kompleks itu.

“Setiausaha kerajaan negeri Selangor ada berjumpa pihak terbabit berhubung pemilihan tanah untuk kita gantikan serta penelitian kos (pembinaan KSSA).

“Jadi saya ingat sekitar April atau selepas Hari Raya, kita akan isytihar di mana tapak (untuk pertukaran tanah) dan kos keseluruhan berkenaan susun atur dan pelan projek ini,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong mengenai penelitian kerajaan negeri untuk dilakukan pertukaran tanah bagi membiayai KSSA pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 2023, di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Pameran KSSA anjuran Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) bulan lalu telah menerima puluhan ribu pandangan serta cadangan sepanjang penganjuran pameran dari 26 Januari hingga 10 Februari 2023 lalu.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang dalam proses penilaian terhadap kos keseluruhan stadium yang melibatkan keseluruhan pembangunan atas tanah seluas 171.816 ekar.

“Secara asasnya, 50 peratus daripada kawasan tersebut akan dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan sukan, 30 peratus dijadikan sebahagian taman dan kawasan hijau manakala selebihnya sekitar 15 hingga 20 peratus untuk utiliti dan komersial yang akan diurus dan ditadbir oleh kerajaan negeri.

“Manakala pihak kerajaan negeri sedang berbincang dan melihat kos sebenar termasuk pertukaran tanah kerana tidak mahu mengganggu tanah serta susun atur kompleks sukan tersebut. Mulai April, kebenaran merancang mula boleh dihantar dan kita boleh memulakan pembinaan KSSA,” ujarnya.

Sebelum ini, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua turut memaklumkan pembangunan semula kompleks sukan terbabit secara perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad akan bermula suku pertama tahun ini.

Beliau turut menjangka projek termasuk pembangunan stadium negeri itu siap seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 dan dilengkapi pelbagai kemudahan canggih.

Stadium terbabit juga bakal mempunyai tiga jenis padang yang boleh dialih mengikut kesesuaian aktiviti iaitu padang rumput, padang sintetik dan penggunaan lantai konkrit.

BACA JUGA: Penggerak Belia Selangor diperkasa, dedah pengetahuan politik semasa