Siasat Woman’s March dengan PDRM, Jawi

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) supaya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan menjalankan siasatan berkenaan perhimpunan dan perarakan Woman’s March di Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 13 Mac.

Kira-kira 150 orang menyertai perhimpunan tersebut. Mereka terdiri dari aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAWI selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan ini.

“Jabatan ini ingin menasihatkan semua pihak agar akur dan menghormati kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan adalah tidak boleh diterima sama sekali,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

BACA JUGA: Hentikan siasatan ke atas penganjur ‘Women’s March’