SPRM tahan ‘Datuk Roy’, lelaki dipercayai dalang kes rasuah Jana Wibawa
Seorang individu dikenali ‘Datuk Roy’ yang dicari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya menyerah diri kepada pihak berkuasa pada petang semalam.
Lelaki berkenaan, Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, yang dipercayai dalang utama kes rasuah program Jana Wibawa dilaporkan ditahan reman di SPRM Kuala Lumpur.
“Ya betul. Datuk Roy ditahan petang semalam (Isnin) dan kini direman di SPRM Kuala Lumpur,” kata sumber pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, laporan Buletin TV3 menyebut lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 pagi ini bagi tujuan permohonan reman berhubung siasatan kes penipuan berkaitan Jana Wibawa.
Semalam SPRM mendedahkan identiti ‘Datuk Roy’ dengan menyiarkan gambarnya dalam satu kenyataan dengan memaklumkan pihak suruhanjaya itu sedang mengesan individu bernama Mohd. Hussein Mohd. Nasir, 54.
Kelmarin laporan media menyebut SPRM sedang mengesan lelaki berkenaan yang dikenal pasti sebagai perancang utama dalam kes rasuah berhubung siasatan ke atas program Jana Wibawa.
Lelaki yang berusia lingkungan 50-an sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Memetik sumber pada 9 Mac lalu, seramai empat individu berusia 40 hingga 50 tahun termasuk seorang pegawai SPRM dan seorang wanita telah ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Kesemua mereka ditahan setelah disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 daripada individu tertentu kononnya bagi mengelakkan siasatan kes berkenaan.
BACA JUGA: SPRM dedah identiti ‘Datuk Roy’, bantu siasatan kes Jana Wibawa