“Terima kasih Azmin, lama tidak masuk Dewan” – Exco Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kejutan apabila muncul pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Kehadiran Azmin disedari petugas media selepas beliau bangkit mengajukan soalan tambahan kepada Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkenaan pelan adaptasi dan mitigasi terhadap perubahan iklim.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Antarabangsa yang sekian lama tidak masuk ke Dewan (Undangan Negeri Selangor).

“Tahniah persoalan yang ditujukan kepada perubahan iklim,” kata Loy Sian dalam sesi pertanyaan mulut pada sidang DUN Selangor hari ini.

Azmin bertanyakan mengenai sejauh mana kerajaan negeri menyediakan Pelan Tindakan Cuaca (CAP) peringkat kerajaan tempatan dalam mempromosi kelestarian dan pengurangan gas rumah hijau (GHG) bagi menangani perubahan iklim.

“Kalau perkara ini dapat dilakukan dengan menyediakan CAP ini, ianya dapat mencerakinkan secara spesifik langkah-langkah yang boleh diambil dan ianya boleh menjadi panduan sama ada kepada pengguna ataupun pihak pemaju.

“Sebagai contoh apakah mungkin kita boleh menyediakan insentif untuk kualiti tinggi dan bangunan cekap tenaga.

“Yang keduanya, apakah mungkin kita boleh menyediakan sejumlah pelaburan dalam tenaga dijana semula oleh kerajaan negeri dan melaksanakan pengurusan sisa mampan di Selangor,” katanya.

Ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Azmin, Loy Sian berkata terdapat geran-geran kecil yang telah disediakan oleh kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun ini untuk menangani isu perubahan iklim.

Katanya, geran kecil sebanyak RM2 juta setahun disediakan untuk pemberian galakan hijau kepada semua komuniti dan tidak terhad hanya kepada kepada persatuan penduduk sahaja.

“Bukan setakat persatuan penduduk tetapi melibatkan badan pengurusan bersama (JNB), Rukun Tetangga, masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perkara ini penting supaya mereka dapat menjalankan aktiviti-aktiviti penghijauan untuk menangani masalah perubahan iklim,” katanya.

Tambah beliau geran kecil itu disediakan dengan had maksimum sebanyak RM20 000 setiap satu permohonan yang akan diberikan kepada persatuan atau komuniti yang terlibat bagi menangani isu perubahan iklim secara bersama.

Terdahulu Azmin dilaporkan tidak hadir ke sesi mesyuarat ketiga persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 2022 yang bermula sejak 23 November 2022.

Azmin dipercayai hadir dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada 30 November hanya selepas Speaker, Ng Suee Lim membuat teguran susulan ketidakhadirannya sejak persidangan bermula.