Tiada calon MB PN setanding PH Negeri Sembilan

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak nampak sosok pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) yang mampu menerajui tampuk pemerintahan di negeri berkenaan.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) negeri, Abd Latif A Tambi berkata, beliau sebenarnya tidak nampak sesiapa yang boleh mentadbir negeri itu setanding dengan pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya sebenarnya tidak nampak pemimpin daripada PN yang mampu menerajui Negeri Sembilan setanding dengan Menteri Besar ketika ini (Aminuddin Harun).

Rekod kutipan hasil tertinggi antara pencapaian Aminuddin sejak menerajui Negeri Sembilan.

“Kita lihat sajalah di peringkat nasional. Jika bandingkan, teramat jauh perbezaan kepimpinan antara Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Perdana Menteri kelapan (Tan Sri Mahiaddin Yassin).

“Jadi, saya berpendapat, kemenangan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti agak sukar dan kalau menang pun, siapakah pemimpinnya?” soalnya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Abd Latif A Tambi

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mahiaddin yang akan melantik Menteri Besar dalam kalangan pemimpin parti itu di dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Selangor jika mereka memenangi PRN dan berjaya membentuk kerajaan.

Menurut Mahiaddin lagi, perkara tersebut telah dibincangkan dan diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi PN.

Dalam pada itu, Abd Latif yang juga Pengerusi MPPH Tampin turut mempersoalkan adakah pengumuman seperti itu merupakan satu strategi yang baik.

“Secara peribadi, saya merasakan ia adalah serangan balik (backfire). Berkemungkinan kepimpinan dan ahli akar umbi Pas akan menarik sokongan dengan tidak turun mengundi setelah pengumuman itu dibuat (tempoh hari).

“Mereka mungkin kata apa gunanya kalau kita menang majoriti dan dapat lebih kerusi pun, kita tidak akan dapat menjadi Menteri Besar. Jadi, protes secara senyap pasti akan berlaku,” tambahnya lagi.

BACA JUGA 10 bukti pencapaian kerajaan PH Negeri Sembilan wajib rakyat tahu