Ulang tahun ke-15 pacu ekonomi Selangor, tingkat rizab kewangan negeri

Bulan ini rakyat Selangor meraikan ulang tahun ke-15 kerajaan negeri diambil selepas Pakatan Rakyat (PR) memenangi buat kali pertama Pilihan Raya Umum 2008.

Sehingga kini di bawah Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila secara keseluruhan berjaya meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 15 tahun lalu.

Berbanding tahun 2007 yang mencatatkan 21 peratus, pertumbuhan meningkat kepada 21.9 pada tahun pertama pentadbiran PR pada 2008.

Kadar itu meningkat kepada 22.1 peratus sebelum membuat lonjakan satu lagi mata kepada 23.5 peratus pada 2012.

Meskipun menurun pada tahun 2015 iaitu tahun terakhir di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kadar itu tetap berlegar melebihi 20 peratus daripada KDNK.

Pertumbuhan melantun semula pada 2018 – tahun PH buat pertama kali menguasai kerajaan Pusat apabila mencatatkan sumbangan KDNK 23.7 peratus.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari, kadar sumbangan Selangor kepada KDNK meningkat kepada 24.8 peratus pada tahun 2021 meskipun ketika itu berdepan dengan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, hasil integriti dan kecekapan pengurusan pentadbiran PR dan PH, rizab kewangan negeri secara keseluruhan menunjukkan peningkatan apabila pada 2008 berjaya mencecah RM1.4 bilion berbanding RM0.99 bilion (2006).

Turun sedikit kepada RM1.3 bilion, rizab negeri meningkat semula kepada RM2.6 bilion pada 2012 sebelum melonjak RM3.3 bilion pada 2015.

Pada hujung penggal kedua pentadbiran, rizab negeri menurun kepada RM2.1 bilion pada 2018 ketika pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali.

Namun kadar itu meningkat semula kepada RM2.8 bilion di bawah pentadbiran Datuk Seri Amirudin Shari pada 2021 biarpun negara dilanda wabak Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta darurat.

Ketika itu perbelanjaan besar terpaksa dikeluarkan untuk menjamin kesihatan dan survival rakyat Selangor.

Prestasi pentadbiran PH terus menunjukkan kecemerlangan apabila jumlah rizab negeri berjaya meningkat kepada RM3.4 bilion pada Oktober 2022.

Tahun 2022 juga dianggap tempoh waktu cemerlang bagi Selangor apabila mencatatkan jumlah kutipan hasil tertinggi dalam tempoh enam tahun berturut-turut dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak 2.4.8 peratus.

Hasil negeri pada tahun lalu merekodkan RM2.533 bilion melebihi sasaran awal RM2.05 bilion dan lebih tinggi daripada angka kutipan 2021 iaitu RM2.284 bilion.

Tahun lalu, pertumbuhan ekonomi Selangor mencatat angka 5.0 peratus mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi nasional pada 3.1 peratus.

BACA JUGA: Sultan Selangor zahir syukur, negeri catat prestasi kewangan tertinggi 2022