AMK Perak lapor polis terhadap kenyataan ‘peliwat’ Ahmad Faizal
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak telah membuat laporan polis terhadap timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Ahmad Faizal Azumu.
Ketua AMK Perak Zaim Sidqi Zulkifly menyoal sama ada Ahmad Faizal tidak dapat menerima kekalahannya dan terpaksa menabur fitnah.
“Apakah beliau (Ahmad Faizal) masih tidak boleh menerima kekalahan di Tambun hingga terpaksa menabur fitnah, justeru saya hadir hari ini untuk membuat satu laporan polis terhadap Ahmad Faizal atas kenyataan beliau,” Zaim dipetik berkata.
Semasa perhimpunan agung Bersatu di Menara PGRM pada 12 Mac, Ahmad Faizal menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli parlimen Tambun sebagai penipu peliwat.
Ahmad Faizal tewas di tangan Anwar di Tambun ketika pilihan raya umum ke – 15.
Ketua Penerangan AMK Tambun, Muhammad Lokman Hakim Romlee dalam laporannya menyifatkan perbuatan Ahmad Faizal sebagai perbuatan khianat yang bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti Anwar sebagai Perdana Menteri dan menimbulkan kekacauan.
AMK Perak berharap agar rakyat Malaysia wajar menolak parti yang mengamal politik fitnah sebagai senjata ampuh, kerana jelas itulah kualiti yang ada pada Timbalan Presiden Bersatu yang ketandusan idea dan hanya berniat jahat untuk menimbulkan kekacauan dan meraih laba politik.
BACA JUGA: Kerajaan perpaduan perlu memikat hati pengundi muda
Â