Malaysia sertai masyarakat dunia ingati Hari Antarabangsa Perangi Islamofobia
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dengan sepenuh hati menyertai masyarakat dunia dalam memperingati “Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia” pada hari ini.
Perdana Menteri berkata ini bukanlah suatu hari yang patut diraikan tetapi merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan tindakan untuk menangani Islamofobia.
“Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan Bulan Ramadhan yang penuh mulia dalam masa terdekat.
“Dalam menyambut bulan yang mulia ini, kita mesti mengamalkan kesederhanaan selaras dengan pelaksanaan Malaysia Madani dan menolak ideologi ekstremis sama sekali,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata Islamofobia dan semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan mesti ditolak.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa secara konstruktif dan kolektif bagi mencapai tujuan ini,” kata beliau.
Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri menggesa agensi dan jentera kerajaan agar meningkatkan usaha menghentikan masalah Islamofobia dengan memastikan rakyat pelbagai agama dan kaum saling memahami dan menghormati.
Beliau berkata tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia terus kekal bersatu dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
BACA JUGA: Hentikan Islamofobia jika hendak Malaysia kekal bersatu, multi budaya – Anwar