Pejabat PM pandang serius salah guna nama, sedia ambil tindakan
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalah guna nama atau kedudukannya bagi tujuan tertentu.
PMO dalam kenyataan berkata tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Pejabat Perdana Menteri dan institusi kerajaan.
“Justeru itu, pihak Pejabat Perdana Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN- Ayer Hitam) mendakwa telah dihubungi oleh seorang wakil syarikat pengimport telur dari India menyatakan mereka telah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri untuk ahli Parlimen itu membuat satu kenyataan dan selesaikan isu di luar mahkamah.
Sebelum ini Ka Siong ada mengemukakan pandangan tidak setuju terhadap langkah kerajaan mengimport telur dari India yang dikatakan lebih mahal sebaliknya membantu penternak tempatan.
BACA JUGA: Ka Siong enggan betulkan ucapannya isu telur import di Parlimen