Pengangguran di Selangor terus menurun

Kadar pengangguran di negeri Selangor terus menurun dengan pengurangan sebanyak 1.4 peratus kepada 2.9 peratus pada tahun 2022 berbanding 4.3 peratus pada tahun 2021.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata penurunan kadar pengangguran di Selangor berlaku adalah disebabkan oleh peluang pekerjaan yang diperoleh golongan muda luar bandar di kawasan bandar.

“Mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kawasan luar bandar di negeri itu mempunyai kadar pengangguran yang rendah,” kata Mohd Khairuddin Othman.

“Sebagai contoh pada 2021, kadar pengangguran Kuala Langat sebanyak 3.3 peratus, Kuala Selangor (4.3 peratus), Sabak Bernam (3.9 peratus) dan Hulu Selangor (3.3 peratus) berbanding kadar pengangguran di Selangor iaitu 4.3 peratus,” tambah beliau.

Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkenaan langkah kerajaan negeri untuk menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia yang menganggur terutamanya lepasan sekolah yang terdapat di luar bandar.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang untuk menghantar anak-anak di rumah perlindungan anak yatim di Selangor yang sudah mencapai usia 18 tahun ke Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Katanya, usaha ini dilakukan bagi membolehkan golongan itu mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk membantu mereka memasuki dunia pekerjaan.

“Kebanyakan anak-anak ini selepas usia 18 tahun, mereka tidak boleh bekerja dengan stigma keluarga dan masalah kemahiran yang sedia ada.

“Kita akan wajibkan mereka pergi (STDC), baru kita lepaskan mereka ke dalam masyarakat,” ujarnya.

Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras berkata sehubungan itu, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak Yayasan Islam Darul Ehsan, Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) dan beberapa institusi untuk menjadikan STDC sebagai kesinambungan selepas golongan golongan itu keluar dari rumah perlindungan.

BACA JUGA: Selangor lancar operasi bersepadu denggi, kes meningkat lebih 6,500 hingga Mac