Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin diteruskan di lapan DUN

Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang mendapat sambutan hangat diteruskan lagi di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Menurut Facebook rasmi Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin, DUN yang terlibat pada hujung minggu lalu adalah Pertang, Bahau, Johol, Paroi, Chuah, Ampangan, Mambau dan Gemas.

Katanya, di DUN Pertang telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Kerangai; DUN Bahau di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Pak Kah Chun; DUN Johol di Balai Raya Kampung Ulu Inas dan DUN Paroi di Masjid Arraudhah Taman Rasa Sayang.

“Di DUN Chuah pula diadakan di Kampung Sawah, Bukit Pelandok (berhampiran Klinik Kesihatan); DUN Ampangan di tapak parkir Sekolah Kebangsaan King George V (KGV); DUN Mambau di Balai Raya Kampung Baru Mambau dan DUN Gemas di Dataran Hijau, Pasir Besar,” maklum pentadbir di media sosial itu.

Rakyat di Negeri Sembilan berpeluang mendapatkan barangan pada harga hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memaklumkan, antara barangan yang dijual adalah ayam, telur, minyak masak dan sayur-sayuran pada paras harga yang lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Ia termasuk harga ayam yang dijual pada kadar RM13 seekor, manakala untuk minyak masak paket berharga RM2 per kilogram.

“Program ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang terus menghimpit rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat dalam waktu yang sukar ini, InsyaAllah,” tulis pentadbir laman itu lagi.

Tahun ini, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun memutuskan untuk meneruskan lagi inisiatif berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Atas kesudian syarikat-syarikat yang memasarkan produk mereka dengan harga ladang, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak terlibat yang turut serta dalam program tersebut.

BACA JUGA 10 bukti pencapaian kerajaan PH Negeri Sembilan wajib rakyat tahu