Selangor lancar operasi bersepadu denggi, kes meningkat lebih 6,500 hingga Mac

Selangor telah melancarkan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) sejak 15 Februari ekoran peningkatan kes denggi yang mencecah lebih 6,500 kes dari Januari hingga 11 Mac lalu, kata Exco kesihatan.

Operasi itu melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan sukarelawan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), Communication for Behavioural Impact (COMBI), Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) dan Pasukan Selangor.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata secara kumulatif negeri tersebut mencatatkan 6,580 kes dari Januari hingga 11 Mac lalu berbanding 4,603 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Operasi bersepadu yang akan berakhir pada 22 Mac ini menyasarkan empat daerah yang mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

“Semua agensi berganding bahu melaksanakan aktiviti pencegahan seperti pemusnahan tempat pembiakan, program gotong-royong dan aktiviti advokasi bersama komuniti setempat melalui pemberian risalah serta mempergiat penggunaan pencegah (bahan penghindar) dan semburan aerosol,” kata beliau ketika menjawab soalan Halimey Abu Bakar (PH-Seri Setia) dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Siti Mariah berkata pelbagai aktiviti bagi mengawal kes denggi juga dijalankan melalui operasi bersepadu itu antaranya pertandingan bebas denggi bersama komuniti setempat menyasarkan lokaliti ‘hotspot’ (tumpuan).

Kata beliau kerajaan negeri juga menyalurkan dana kepada agensi sukarelawan berkaitan seperti SUKA, COMBI atau persatuan penduduk untuk melaksanakan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan aedes.

“Selain itu, mengadakan aktiviti semburan kabus yang lebih bersasar serta memperbanyak penggantungan kain rentang di setiap lokaliti ‘hotspot’ supaya penduduk mengambil langkah pencegahan segera,” ujarnya.

 

BACA JUGA: Selangor mengupayakan sistem pendidikan Islam