Selangor mengupayakan sistem pendidikan Islam

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata Selangor mengupayakan sistem pendidikan Islam di Selangor dengan memperuntukkan tanah untuk membina sekolah agama bagi menampung peningkatan pelajar yang semakin bertambah setiap tahun.

“Tapak untuk pembangunan sekolah agama memang ada disediakan di kawasan-kawasan tumpuan berkeperluan tinggi. Namun, peruntukan untuk perbelanjaan modal atau operasi bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan negeri,” kata beliau.

Zawawi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunarajah R George mengenai kecukupan sekolah agama di negeri Selangor bagi menampung jumlah pelajar di negeri itu pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 2023, di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut beliau yang juga ADUN Sungai Kandis, pada ketika ini terdapat sekolah agama memang tidak mencukupi untuk menampung permintaan kemasukan pelajar di Selangor terutama di peringkat sekolah menengah.

“Bayangkan calon Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) bagi murid tahun enam di peringkat sekolah rendah bagi tahun 2022 berjumlah 43950 orang.

“Manakala untuk penempatan sekolah menengah agama ataupun atau sekolah agama menengah tinggi dan maahad tahfiz Selangor berjumlah 3834 tempat sahaja,” ujarnya.

Katanya, situasi sama turut dihadapi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam menguruskan kemasukan pelajar terutama di sekolah rendah agama integrasi.

Tambahnya, sebanyak 2557 jumlah permohonan telah diterima bagi kemasukan ke tahun satu sesi persekolahan 2023/2024 manakala hanya 1224 tempat sahaja yang mampu ditawarkan kepada pelajar.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sumber manusia dan penyelenggaraan yang melibatkan kos besar dan berterusan.

BACA JUGA: SELHAC 2023: Usaha Selangor luaskan industri halal ke peringkat antarabangsa