Syor salur BAP terus ke akaun bank murid sedang diteliti

Syor pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara terus menerusi akaun bank murid sedang dalam penelitian, kata Timbalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Lim Hui Ying.

Lim berkata, buat masa ini tidak ramai murid di bawah 12 tahun yang mempunyai akaun bank sendiri, sekaligus menyukarkan usaha kerajaan melaksanakan kaedah pembayaran terus ke akaun bank.

Malah, katanya, cadangan pengkreditan terus perlu mengambil kira kesukaran murid di kawasan pedalaman untuk membuat urusan di bank.

“Cadangan pengagihan wang BAP secara kredit terus ke akaun murid sepenuhnya sedang diteliti.

“Cadangan ini perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos tinggi membuat urusan di bank.

“Buat sementara ini, selagi murid ada akaun bank, kita akan salurkan terus pada bank. Tapi bilangan amat sedikit pada masa ini, kebanyakannya terus pada tunai kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau menjawab soalan Shaziman Abu Mansor (Tampin-BN) yang bertanya mengapa kerajaan masih tidak mengubah kaedah pembayaran BAP dengan menyalurkan terus wang ke akaun ibu bapa atau murid terlibat.

Menjawab lanjut hal itu, Lim memberitahu bahawa wang BAP tidak boleh dikreditkan ke akaun ibu bapa, sebaliknya ia mesti terus disalur kepada akaun bank murid.

Justeru katanya, KPM menggalakkan ibu bapa membuka akaun bank untuk anak-anak mereka bagi memudahkan kementerian melaksanakan secara menyeluruh kaedah pembayaran melalui akaun murid.

Menjawab soalan lebihan wang BAP, Lim memaklumkan KPM akan memohon kepada pihak sekolah untuk membuat pemulangan lebihan wang BAP sebelum 31 Julai 2023 setelah sekolah mengesahkan semua murid layak telah menerima BAP.

BACA JUGA 100 pelajar Kuala Geris, Kelantan kini pergi sekolah dengan percuma