Tiada kelas akademik minggu pertama persekolahan, tumpu rapatkan hubungan

Kementerian Pendidikan menetapkan tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini.

Sebaliknya kata Ketua Pengarah Pendidikan, tempoh tersebut diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

“Fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah,” kata Datuk Pkharuddin Ghazali.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Sesi persekolahan 2023/2024 bermula pada 19 Mac ini hingga 9 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan A manakala 20 Mac hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.

Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pkharuddin berkata sebelum ini fokus hari pertama terus mengajar subjek akademik namun kali ini kementerian meminta sekolah merapatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti.

“Semua ini akan bangkitkan satu semangat iaitu saling menyokong sudah diterjemah di awal persekolahan,” katanya.

Pkharuddin berkata, Pekeliling Bilangan 5 Tahun 2023 menyediakan panduan kepada sekolah-sekolah untuk mengadakan program atau aktiviti bersesuaian bagi menyediakan pelajar dari segi sosial dan mental.

Katanya nilai-nilai jasmani, emosi, rohani dan sosial diutamakan bagi membentuk pelajar menjadi beradab, berakhlak dan berintegriti.

Bagaimanapun, beliau berkata sekolah dengan jumlah pelajar tidak ramai dan telah selesai melaksanakan aktiviti tersebut boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pada itu, Pkharuddin memberitahu sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis yang tidak memberi impak besar dimansuhkan mulai sesi persekolahan 2023/2024 sebagai inisiatif segera menangani isu beban tugas guru.

Jelas beliau kekerapan semakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) pula dikurangkan kepada setahun sekali mulai sesi persekolahan ini berbanding sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebelum ini.

Beliau berkata kementerian juga mengehadkan sambutan Hari Guru kepada peringkat kebangsaan dan sekolah berbanding sebelum ini melibatkan peringkat negeri dan daerah.

“Para pendidik juga diberikan autonomi dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bilik darjah dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan,” katanya.

Bagi menangani isu beg berat, Pkharuddin berkata, antara usaha dilaksanakan bagi sesi ini ialah penyediaan lokar, penggunaan buku aktiviti yang disediakan kementerian dan penggunaan buku kerja hanya sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu kelas.

Buku latihan dihadkan pada dua buah untuk setiap mata pelajaran pada satu-satu masa serta tidak melebihi 80 muka surat, katanya.

BACA JUGA: Tujuh langkah Kementerian Pendidikan untuk menjaga kesejahteraan guru