Anak muda di Mantin buktikan tanam timun mampu raih untung RM20,000 sebulan

Tanaman timun yang diusahakan sekumpulan anak muda di Mantin, Negeri Sembilan mencuri perhatian masyarakat apabila berjaya meraih purata keuntungan berjumlah RM20,000 sebulan membabitkan keluasan tanah seluas empat ekar.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata keuntungan itu dicatatkan selepas ditolak kos dan pendapatan daripada jualan timun itu serta membayar pelaburan infrastruktur dalam tempoh enam bulan.

”Permintaan kepada hasil pertanian harian melebihi penawaran, maka pembeli datang sendiri ke tapak penanaman,” tulis beliau dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Terdahulu Rafizi sendiri meluangkan masa bertemu dengan kumpulan usahawan anak muda itu di Mantin untuk melihat sendiri kejayaan membanggakan itu.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya mengambil sedikit masa dari jadual Parlimen dan Kementerian untuk berjumpa sekumpulan anak muda di Mantin, Negeri Sembilan yang mengusahakan tanaman timun.

“Ada beberapa perkara yang saya ingin sahkan sendiri selain dari pelbagai kiraan atas kertas yang saya telah semak sebelum ini.

“Sebarang usaha mewujudkan peluang pekerjaan berbentuk perniagaan bergantung kepada keseluruhan aspek rantaiannya – dari kemahiran, pasaran sehinggalah pendapatan bulanan,” katanya.

Menurut Rafizi lagi, satu langkah utama untuk kerajaan menangani cabaran kos sara hidup adalah dengan menambah bekalan bahan mentah dalam usaha menurunkan harga, di samping menambah pendapatan peserta Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).

“Niat kami ialah mendorong anak-anak muda juga untuk tidak berhijrah ke bandar dengan mewujudkan peluang menyertai inisiatif usahawan tani tersusun di seluruh negara.

“Terima kasih kepada pemohon-pemohon yang menyertai INTAN setakat ini,” ujar beliau.

Dalam beberapa tahun lagi beliau mengharapkan lebih ramai anak muda yang akan memilih menjadi usahawan tani dan memandangnya sebagai kerjaya yang setanding dengan bidang profesional yang lain.

Â