Cadang alternatif mesra etika pemakaian
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon mencadangkan agar penyediaan alternatif yang mesra pakaian perlu diwujudkan di premis kerajaan.
Hal ini susulan insiden membabitkan seorang wanita yang tidak dibenarkan memasuki ruang penjawat awam berikutan penampilannya yang tidak selaras dengan garis kod etika pemakaian.
“Saya cadangkan supaya sediakan jubah dan kain sarung di bilik pengawal keselamatan supaya mereka tidak perlu balik.
“Paling penting kita harus berpandukan kepada semangat Rukun Negara di samping ada kebebasan kaum masing-masing, selari dengan kesopanan dan kesusilaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, semalam.
Menurutnya yang juga Exco Wanita dan Kebajikan Negeri, aspek budi bicara juga perlu diambil kira memandangkan pemakaian wanita tersebut masih boleh dipertimbangkan.
“Saya berpandangan bahawa semua rakyat Malaysia sepatutnya sudah sedia maklum tentang garis panduan ini dan seharusnya mematuhinya.
“Namun, kes wanita terbabit yang memakai skirt dengan bahagian depan memang berada di bawah paras lutut tetapi ada sedikit belahan sehingga menampakkan pahanya.
“Pada saya, ia boleh diberi sedikit kelonggaran kepada mereka,” kata Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu lagi.
Terdahulu, tular dakwaan seorang wanita berbaju labuh merah jambu bahawa dia tidak dibenarkan memasuki Wisma Negeri di Negeri Sembilan kerana berseluar pendek atas paras lutut.
Pengadu yang dalam menguruskan hal peribadi di premis kerajaan mengambil cuti sehari itu mendakwa dirinya tidak dapat melakukan apa-apa bagi menyelesaikan urusan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Arcyl Sani Abdullah Sani menjelaskan, peraturan pemakaian boleh diberi kelonggaran jika pengadu menghadapi situasi kecemasan.
BACA JUGA Menjelang PRN Negeri Sembilan: ‘Wakil rakyat umpama Superman, Superwoman’