Kajian mencantumkan JBG, YBGK sedang dilaksanakan

Kajian untuk mencantumkan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mempunyai fungsi sama iaitu memberi akses guaman kepada semua, sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“Ada rancangan, kajian untuk mencantumkan bantuan guaman. BHEUU sedang meneliti peranan pegawai pembela awam,” kata Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Ramkarpal Singh.

JBG ialah sebuah jabatan kerajaan manakala YBGK berfungsi di bawah Majlis Peguam dengan bantuan dana kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Syahredzan Johan (Bangi-PH) yang bertanya sama ada skop bantuan guaman Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) akan diperluaskan kepada kes tuntutan sivil dan kes mahkamah perusahaan.

Menjawab soalan asal Syahredzan, Ramkarpal berkata usaha meluaskan bidang kuasa sivil untuk bantuan guaman sedang dilaksanakan. Walau bagaimanapun ia tidak termasuk kes mahkamah persekutuan.

“Kes mahkamah persekutuan tidak termasuk di bawah bantuan guaman kerana dari segi takrifan ia bukan mahkamah. Bantuan guaman boleh diberikan untuk mengurus kes rayuan.”

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN), Ramkarpal berkata pihaknya terbuka kepada cadangan bekerjasama dengan kementerian lain untuk meningkatkan bantuan guaman ke semua kawasan parlimen.

BACA JUGA: Kerajaan teliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Maklumat