Kongres Nasional Khas PKR tumpu persiapan PRN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan Kongres Nasional Khas sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam buah negeri nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat khas tersebut yang diadakan pada 18 Mac ini di Shah Alam menumpukan pada tiga perkara utama bagi memastikan perbincangan PRN berjalan lancar.

“Kongres ini membincangkan garis-garis besar antaranya hala tuju rundingan kerusi sebab berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, parti-parti dalam UG (Kerajaan Perpaduan) akan duduk bersama dan berbincang.

“Kedua, elemen pemantauan kepada dasar-dasar kerajaan di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

“Ketiga, perkara melibatkan mobilisasi dan komunikasi yang menjadi tumpuan kongres ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail

Dalam masa sama, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, selaras dengan konsep Malaysia Madani, kongres tersebut turut mengangkat gagasan kepimpinan Perdana Menteri itu sebagai tema utama.

“Tema Kongres Nasional Khas iaitu Malaysia Madani Pelaksanaan Sebuah Idealisme diangkat bagi merealisasikan hasrat yang kita perjuangankan,” jelasnya.

Selain itu, menurutnya, pengisian kongres itu juga memperincikan ucapan dasar melibatkan pimpinan dan perwakilan serta sayap parti itu.

“Pengisian utama ialah ucapan Presiden Keadilan (Anwar Ibrahim) selaku pengucapan sulung sejak menjawat Perdana Menteri.

“Ucapan itu akan berupa pelaksanaan bukan lagi desakan atau kritikan kerana beliau (Anwar Ibrahim) sudah menjawat jawatan nombor satu (Perdana Menteri). Jadi ia adalah pelaksanaan sebuah idealisme.

“Selain itu, akan ada siri perbahasan melibatkan wakil pembahas negeri, sayap jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang akan mengupas pelbagai sudut pandang dari sudut politik dan ekonomi bagi tujuan PRN nanti,” ujarnya lagi.

BACA JUGA