PM Anwar: Tambang percuma MRT Laluan Putrajaya hingga 31 Mac

Rakyat terutamanya warga Lembah Kelang berpeluang menikmati tambang percuma bagi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya bermula pukul 3 petang ini sehingga 31 Mac.

Tambang percuma itu diberikan bersempena pembukaan sepenuhnya kemudahan MRT laluan Putrajaya bermula Putrajaya Sentral sehingga Kwasa Damansara.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar merasmikan pelancaran MRT Laluan Putrajaya di Depoh MRT Serdang pada 16 Mac 2023. Foto FB Amirudin Shari 

Keseluruhan MRT Laluan Putrajaya mempunyai 36 stesen akan mula beroperasi pada pukul 3 petang ini.

Perjalanan dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Putrajaya Sentral akan mengambil masa kira-kira 84 minit.

Pengoperasian sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya melengkapkan sistem tren menghubungkan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya ke ibu kota Kuala Lumpur.

 

Perkhidmatan itu mampu membawa 1,200 penumpang pada satu-satu masa sekali gus dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik Lembah Klang.

Sebelum ini Anthony dipetik sebagai berkata, jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 orang dalam tempoh dua tahun.

Menelan belanja RM30.53 bilion, MRT Laluan Putrajaya merangkumi 57.7 kilometer dan mempunyai 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral dengan 10 stesen pertukaran dan stesen sambungan termasuk Cyberjaya, Titiwangsa, Ampang Park, Chan Sow Lin, dan Sungai Besi.

MRT Laluan Putrajaya mula dibuka secara berfasa dan pertama kali pada 16 Jun 2022 membabitkan perjalanan sepanjang 17.5 kilometer meliputi 12 stesen antaranya Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.

BACA JUGA: Sembilan tahun tragedi MH370, kerajaan tidak henti siasatan – Menteri

Â