Rawatan hospital tak kira kaum, kod pakaian
Rawatan hospital akan diberikan tanpa mengira kaum dan kod pakaian, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan. Ini kerana setiap pengamal perubatan wajib dan bersedia memberikan rawatan kepada pesakit.
“Sebenarnya secara prinsipnya setiap pesakit wajib diberi keutamaan rawatan tanpa mengira kaum bangsa mahupun kod etika pakaian. Setiap pengamal perubatan termasuklah petugas-petugas perubatan perlu menjaga etika mereka.
“Kita ada sumpah, kita angkat sumpah yang diikrar khususnya oleh para doktor dan pengamal perubatan untuk sentiasa bersedia membantu pesakit sebaik mungkin,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau-PH) yang bertanya isu kod etika pakaian di klinik-klinik kesihatan dan adakah KKM bersedia menerima sesiapa sahaja dalam kes kecemasan tidak mengira kod pakaian.
Sementara itu, Zaliha turut menjawab soalan Dr Halimah Ali (Kapar-PN) berkenaan adakah KKM membuat ketetapan melarang pesakit menggunakan khidmat klinik kesihatan yang lebih dekat dengan rumah mereka selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Menjawab hal itu, Zaliha mengingatkan agar semua anggota kesihatan di kaunter pendaftaran untuk tidak menolak sebarang kehadiran mana-mana pesakit untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.
Ini katanya bagi memenuhi pendekatan ‘no wrong door policy‘ yang dilaksanakan KKM dan setiap petugas tidak boleh menjadikan alasan luar kawasan untuk menolak pesakit yang datang.
BACA JUGA: Dr Zaliha mahu rakyat cegah penyakit, amal cara hidup sihat
Â