Saman fitnah: Ahli Parlimen Kepong diarah bayar ganti rugi RM2 juta

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng diarahkan membayar ganti rugi RM2 juta kepada firma Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Jessy Lai susulan saman fitnah yang difailkan syarikat itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir turut mengarahkan Lip Eng membayar kos RM250,000 kepada Lai dan syarikatnya.

Memetik laporan Malaysiakini, peguam ahli Parlimen itu, Guok Ngek Seong mengesahkan keputusan tersebut yang dibuat dalam prosiding secara dalam talian hari ini.

Lai dan Monspace memfailkan saman sivil terhadap Lip Eng pada tahun 2019 berhubung dakwaannya bahawa syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal memberi pulangan kepada pelabur seperti dijanjikan.

Pada tahun sama, media juga melaporkan beberapa pengasas syarikat didakwa di mahkamah membabitkan kes skim piramid.