Status rayuan Tian Chua belum diputuskan Lembaga Disiplin

Status rayuan pemecatan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua belum diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mana-mana individu yang dikenakan pengantungan atau pemecatan perlu mengemukakan rayuan status terlebih dahulu.

“Bagi kes-kes disiplin sama ada pemecatan atau pengantungan, tertibnya adalah mereka mesti mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dalam perlembagaan.

“Daripada situ, Lembaga Displin akan meneliti dan dibawa kepada MPP untuk dibentangkan dan diputuskan,” katanya ketika ditanya media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu dua penggal, dipecat ekoran tindakannya yang bertanding atas tiket calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus menentang calon daripada daripada partinya.

Setakat ini, Saifuddin memberitahu, Lembaga Displin belum membawa sebarang keputusan kepada MPP parti.

“Saya tidak sempat berhubung dengan Lembaga Disiplin. Jadi, saya percaya mereka sedang meneliti kes-kes yang berupa rayuan daripada anggota yang telah dijatuhkan atau dikenakan hukuman.

“Mengenai status keputusan mantan YB Batu (Tian Chua) itu saya tak dapat makluman. Kalau ada saya boleh kongsikan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Saifuddin yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri (KDN) menambah, isu surat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan sudah berakhir.

“Saya dah move on daripada episod itu. Mereka (Umno) pun dah nak mengundi (pemilihan parti) dah,” katanya lagi.

BACA JUGA Kongres Nasional Khas PKR tumpu persiapan PRN