Tender projek besar perlu diberi berdasar keupayaan, rekod prestasi syarikat – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar tender bagi semua projek besar perlu dianugerahkan kepada sesebuah syarikat berdasarkan kepada keupayaan dan rekod prestasinya.

Perdana Menteri berkata perkara itu merupakan prinsip-prinsip yang menjadi panduan dalam menawarkan tender bagi projek-projek besar dalam negara.

“Dalam mesyuarat dengan jawatankuasa tender yang membuat keputusan berhubung projek-projek besar hari ini, saya beritahu mereka bahawa nama syarikat-syarikat berkenaan tidak seharusnya didedahkan.

“Namakan saja ia syarikat A, B, C. Kita menetapkan bahawa keputusan perlu dibuat berdasarkan kepada kebolehan, rekod prestasi dan keupayaan kewangan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersempena Ulang Tahun ke 50 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di Kuala Lumpur malam tadi, lapor Bernama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya melibatkan tender bagi projek-projek seperti Jana Wibawa, ia seharusnya diberikan kepada syarikat bumiputera menerusi proses pemilihan namun proses itu juga perlu telus.

Beliau berkata penganugerahan tender yang telus penting bagi membanteras rasuah dalam negara yang dilabelnya sebagai “endemik”.

“Rasuah adalah endemik, sekiranya bukan sistematik dalam negara ini. Perlukan keberanian dan keazaman untuk berubah,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata isu yang membelenggu sektor perumahan dalam negara boleh diselesaikan dengan mengubah proses yang lapuk, memacu dan memudahkan prosesnya.

Beliau berkata masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi peraturan-peraturan dalam negara serta kadar kepantasan kelulusan yang diperlukan.

“Kita telah berbincang dengan semua Menteri Besar agar Majlis Perbandaran di negeri-negeri dapat membantu dan menyegerakan proses-prosesnya,” katanya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

BACA JUGA: Runding terus ditender semula, kerajaan jimat RM3 bilion