Tiada kompromi, pelanggaran terma sistem iDME, SPPB

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran terma dan syarat yang ditetapkan kepada syarikat yang mendapat tender untuk melaksanakan sistem pangkalan data Sistem Pengurusan Identiti (idME) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).

“KPM tidak akan berkrompomi dengan sebarang pelanggaran terma dan syarat yang ditetapkan kepada syarikat yang melaksanakan sistem ini.

“KPM juga bersedia dan terbuka untuk sebarang ‘inquiry integritiy’ dan audit teknikal dalaman sekiranya terdapat dakwaan berhubung pelanggaran tatacara pelaksanaan sistem ini,” kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semasa waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH) yang bertanya sama ada KPM akan melakukan teknikal audit ke atas sistem idMe, sistem MOEIS yang sering mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugas puluhan ribu guru-guru.

Fadhlina mendedahkan bahawa dua syarikat memperoleh tender untuk membangunkan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PDB) secara dalam talian iaitu SPPB dan idME.

“PBD secara dalam talian melibatkan beberapa modul yang dibangunkan secara berasingan. Modul tersebut ialah idME, Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan SPPB. MOEIS dibangunkan secara dalaman manakala idME dan SPPB dibangunkan secara penyumber luaran kepada dua syarikat berbeza yang diperoleh secara sebut harga dan tender terbuka,” kata beliau.

Fadhlina turut menyatakan bahawa KPM bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) bagi pelaksanaan audit teknikal dalam sistem ini.

Hasil audit adalah bertujuan menambahbaik sistem sedia ada dan audit akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.

Beliau turut mendedahkan nilai kontrak iDME dan SPPB iaitu masing-masing RM454 ribu dan RM1.05 juta.