Lebih ramai pengusaha restoran diseru sediakan Menu Rahmah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru lebih ramai pengusaha restoran menyediakan Menu Rahmah sebagai langkah membantu golongan memerlukan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata langkah kerajaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat itu diharap mendapat sokongan pemilik premis menjual makanan.

“KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri rantaian restoran makanan supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian selepas Jelajah Menu Rahmah Johor di Tea Garden, Taman Perling di Johor Bahru semalam.

Menurutnya, Menu Rahmah Tea Garden menawarkan tiga pilihan iaitu Nasi Lemak Rahmah, Dry Mee Siam Rahmah, dan Nasi Goreng Telur Ayam Thai Rahmah yang dihidang bersama secawan teh o limau bagi setiap hidangan.

Menu Rahmah yang menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5 dan ke bawah dilihat besar maknanya kepada rakyat berpendapatan rendah.

Ribuan premis menjual makanan menyertai inisiatif Menu Rahmah termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Mulanya, Menu Rahmah merangkumi hidangan nasi, ayam atau ikan dan sayur tetapi ramai pengusaha makanan lebih kreatif menghasilkan menu lain dengan harga RM5 ke bawah seperti nasi paprik, rojak dan roti John.

BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah

Â