Mahu masjid bebas politik kepartian, JAWI larang penceramah tidak bertauliah

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan masjid dan surau perlu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh serta unsur politik kerajaan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, semua penceramah yang dijemput untuk program pengajian dan pengimarahan perlu dipastikan mempunyai Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, dua tempat ibadah tersebut di Wilayah Persekutuan tertakluk di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

“Ketetapan itu juga tertakluk di bawah Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019, dan pekeliling semasa.

“Ia bagi memastikan institusi terbabit ditadbir secara efisien dan profesional khususnya membabitkan program pengimarahan dan pengajian agama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, ujarnya, sebarang pelanggaran terhadap ketetapan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata, institusi masjid dan surau harus menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan.

Tegasnya, masjid dan surau bukannya menjadi punca kepada kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat.

Selain Wilayah Persekutuan, turut mengenakan peraturan menghalang penceramah tidak bertauliah memberi kuliah di masjid dan surau termasuk ahli-ahli politik adalah Selangor, Terengganu dan Perak.

BACA JUGA ‘Atas kejahilan mereka memfatwa’ – Penceramah ‘sekolahkan’ pemimpin Pas