MAIS larang program babit umat Islam di rumah ibadat agama lain

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menolak sebarang aktiviti yang menggalakkan umat Islam memasuki tempat ibadat orang bukan Islam secara terbuka untuk mempelajari agama bukan Islam.

Ini berikutan wujudnya iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari yang lepas berkaitan dengan ‘Projek Artikel 11 Jom Ziarah’, program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Melalui program itu, belia yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput menyertainya termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, pada 18 Mac 2023.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, aktiviti sedemikian akan lebih membawa kesan negatif daripada kebaikan menjaga akidah kepada umat Islam khususnya para belia Islam dan ianya perlu ditolak dan disekat.

“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain daripada agama Islam.

“Program sebegini jika dibenarkan untuk dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Beliau berkata, MAIS turut mengambil pendekatan berhati-hati demi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

“Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan negara.

“Malah, Islam tidak melarang persahabatan dan toleransi dengan orang bukan Islam,” katanya.

Tambah Abdul Aziz, walaupun objektif program tersebut untuk memberi pendedahan tentang sesuatu agama yang diamalkan di negara ini dan bagi menjamin perpaduan erat di kalangan penganut pelbagai agama, namun mempelajari agama selain Islam di mana-mana gereja atau rumah-rumah ibadat agama lain memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu.

“Ini bagi memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor berkata, tiada golongan belia beragama Islam yang akan terlibat dalam program tersebut kerana telah dihadkan kepada para belia bukan Islam sahaja.