PH Gem sasar perkasa wanita dengan kemahiran, latihan

“Jangan beri ikan, tapi beri mereka pancing,” demikian perumpamaan diberikan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon terhadap inisiatif Power House Wanita Gemilang (PH GEM) yang diasaskannya.

Menerusi insiatif berkenaan, Nicole berkata, matlamatnya adalah untuk memberi pendedahan tentang kemahiran kepada golongan wanita di negeri Adat Perpatih itu.

“Logo kita adalah berlian. Saya mahu wanita menganggap diri mereka umpama berlian. Kita juga menganjurkan program pemerkasaan wanita dalam lima sektor iaitu alam sekitar, pendidikan, kesihatan, sosio ekonomi dan hak asasi.

“Untuk pengetahuan, banyak program yang sudah dijalankan sejak 2019. Apabila kita (Pakatan Harapan) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, saya dilantik sebagai Exco pada 23 Mei.

“Maka dengan itu, saya terus membuat satu kertas kerja untuk menubuhkan PH Gem yang bermaksud PH merujuk kepada ‘Power House’ dan boleh juga membawa makna Pakatan Harapan.

“Gem pula singkatan untuk ‘Gemilang’,” ujar pemimpin DAP itu ketika ditemui Harapan Daily di Wisma Negeri, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Nicole ketika ditemubual Harapan Daily baru-baru ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai inisiatif bersama masyarakat yang telah dilaksanakan pihaknya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, berkata selepas membuat kertas kerja itu, sebanyak RM1.6 juta telah diluluskan untuk menganjurkan program.

“Ia bukanlah untuk membeli peralatan, tetapi lebih kepada latihan dan memberi kemahiran kepada wanita, sekali gus memperkasakan golongan tersebut.

“Bak kata pepatah, jangan bagi mereka ikan, tetapi bagi mereka pancing, kemudian ajar bagaimana hendak memancing ikan. Itulah kami di PH Gem,” katanya.

Terdahulu, dalam Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, Nicole memaklumkan seramai 26,170 peserta telah mendapat manfaat daripada program PH GEM sejak 2018.

Menerusi jumlah itu katanya, secara keseluruhan 90 peratus peserta PH GEM di bawah sektor sosio ekonomi telah berjaya menjana pendapatan sehingga kini.

“40 peratus peserta diberi sumbangan ketuhar elektrik, mesin jahit dan peralatan yang lengkap untuk melukis henna bagi memudahkan operasi perniagaan dan ilmu yang mereka akan dalami di dalam program PH GEM.

“Selain itu, 50 peratus daripada peserta yang mengikuti program PH GEM telah berjaya menjalankan operasi perniagaan mereka hanya dari rumah dan juga secara atas talian seperti di aplikasi Facebook, Shopee, PG Mall, Instagram dan juga Tik Tok,” katanya.

Untuk rekod, antara program dianjurkan PH Gem adalah Simulasi Sidang DUN Wanita Negeri Sembilan, kursus jahitan langsir dan kursus penampilan serta pengucapan awam.

BACA HARI Menjelang PRN Negeri Sembilan: ‘Wakil rakyat umpama Superman, Superwoman’

Â