Sidang DUN Selangor akan dibubarkan dalam separuh kedua bulan Jun

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari menasihatkan seorang pengguna TikTok @izzatiyanglawa bahawa sidang dewan undangan negeri Selangor akan dibubarkan dalam separuh kedua bulan Jun.

Walau bagaimanapun tarikh pilihan raya negeri bukan ditentukan oleh pihaknya.

“Saya nak beritahu tarikh pilihan raya bukan saya yang tetapkan. Tarikh pilihan raya ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tapi yang saya boleh beritahu ialah tarikh pembubaran dewan (undangan) negeri Selangor,” kata Amiruddin merangkap Adun Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak.

“Tarikh pembubaran dewan negeri Selangor, insyallah di antara minggu ketiga dan keempat bulan Jun 2023. Tarikh tersebut akan tentukan dalam dua bulan selepas bubar akan berlangsung pilihan raya,” kata Amiruddin kepada pengguna TikTok yang risau berkenaan penentuan tarikh perkahwinannya.

“Maknanya pilihan raya boleh berlangsung dalam minggu ketiga atau keempat dalam bulan Ogos. Justeru dari tarikh bubar hingga bulan Ogos Izzati boleh pilih tarikh lain untuk kahwin ataupun kahwin waktu tempoh kempen.

“Insya Allah ramai calon – calon pilihanraya akan datang. Calon-calon suami pun ada. Selamat berkahwin pada Izzati dan jangan takut berkahwin. Saya datang jika dijemput.”

Selain Selangor, negeri lain yang akan menyaksikan pilihan raya negeri ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.