Tarawih: Perlu dapat kebenaran jika guna imam luar negara di Selangor

Jemputan imam dari luar negara untuk mengimamkan solat tarawih menjelang Ramadan nanti, dilarang sama sekali tanpa kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, semua pentadbir masjid, surau dan musolla perlu memastikan hanya menggunakan khidmat imam lantikan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Kebenaran itu juga melibatkan imam lantikan oleh masjid, surau atau musolla di negeri ini (Selangor).

“Jemputan imam luar negara adalah sama sekali tidak dibenarkan, kecuali selepas mendapat kebenaran JAIS,” maklum beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Mohd Zawawi lagi, semua pentadbir masjid, surau dan musolla diingatkan supaya mematuhi ketetapan khas lain yang turut ditetapkan sepanjang Ramadan.

Katanya, pelaksanaan solat tarawih perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan membaca surah dan ayat-ayat pendek.

“Pelaksanaan tazkirah juga dilaksanakan selepas selesai solat itu oleh penceramah bertauliah dan tempohnya tidak lebih 20 minit,” ujar beliau lagi.

Dalam pada tu, beliau menambah, kerajaan negeri menyambut baik ketetapan khas JAIS mengenai kebenaran pelaksanaan solat fardu lima waktu, solat Jumaat dan aktiviti pengimarahan dengan kapasiti penuh mengikut syarat ditetapkan.

“Berikutan fasa endemik Covid-19 ketika ini, orang awam dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Pihak pentadbir masjid, surau, musolla dan jemaah digalakkan memakai pelitup muka dan tidak perlu hadir jika keadaan tidak sihat dan bergejala,” katanya lagi.

 

BACA JUGA Tauliah penuhi maqasid syariah, bukan halang ajar agama – Sultan Selangor