Hasil sekat ketirisan, sekolah tahfiz dan institusi pondok dapat RM150 juta
Sebanyak RM150 juta peruntukan tambahan disalurkan kepada sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hal tersebut ketika ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Melawati, Shah Alam petang tadi.
Presiden PKR itu berkata, kerajaan mampu berbuat demikian berikutan usaha penjimatan wang negara melalui sekatan ketirisan dana negara.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara bertambah. Hasil minyak, hasil cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertambah berpuluh billion.
“Hasil itu diberi kepada NADMA untuk bantuan banjir, serta rakyat miskin seperti petani, pesawah, dan nelayan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik rakyat walaupun kajian mendapati kadar tarif elektrik sepatutnya dinaikkan kerana subsidi kerajaan terlalu tinggi.
“Namun, syarikat-syarikat besar yang mendapat keuntungan tinggi, tarif eletrik mereka dinaikkan,” katanya lagi.
BACA JUGA PM Anwar tekad guna kuasa politik lindungi rakyat, serang perasuah