PKR palu mod serang kepada pembangkang yang mahu jatuhkan kerajaan
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution menggesa ahli parti itu berada dalam mod menyerang bagi menangkis sikap Perikatan Nasional (PN) yang secara terang-terangan mahu menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, tindakan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama itu juga sekali gus menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong yang bertitah supaya mengekalkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
“Mulai saat ini, seluruh kekuatan PKR dalam mendepani pilihan raya, kita akan pergi secara ‘offensive mode’ iaitu menyerang, menerang dan menyerang,” tegasnya.
Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR, Menteri Dalam Negeri itu juga tindakan pembangkang yang melanggar ketetapan istana untuk tidak berceramah atau memberi kuliah di masjid.
“Hari ini, kita boleh tengok dalam kalangan pemimpin politik pembangkang, raja atau sultan sebagai ketua agama menganjurkan supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik.
“Tetapi ada tokoh pembangkang tanpa rasa bersalah melanggar atas alasan Islam membenarkan politik.
“Jelas, memang dalam Islam ada politik kita dituntut berpolitik secara agama dan bukannya mempolitikkan agama.
“Ini yang sedang berlaku sebenarnya oleh parti agama ini,” katanya di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.
Tambahnya, amalan dalam politik Islam sentiasa menganjurkan kaedah hormat-menghormati dan sentiasa mencari jalan pendamaian yang meliputi semua lapisan masyarakat.
“Ini baru berpolitik secara agama (Islam), kalau mempolitikkan agama bermaksud melabelkan seseorang ke neraka hanya kerana mereka berbeza pandangan, itulah namanya mempolitikkan agama, bukan berpolitik secara agama,” tegas Saifuddin lagi.
BACA JUGA PM Anwar tekad guna kuasa politik lindungi rakyat, serang perasuah