SPRM kerjasama dengan FBI, NCA jejak aset penipuan saham

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan agensi dan penguatkuasa antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Crime Agency (NCA) United Kingdom bagi mengesan aset penipuan pelaburan di luar negara.

Menerusi kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya juga berusaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit itu dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

“SPRM kini sedang giat menjejak aset dan wang hasil daripada kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang berjaya dilumpuhkan dalam satu operasi besar-besaran digelar Op Tropicana pada Februari lalu.

“Usaha ini adalah tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket ini yang terdiri daripada warga asing berjaya didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac 2023 dan di Mahkamah Butterworth pada 17 Mac 2023 iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan,” katanya.

Menyentuh laporan berkenaan lima bank utama sedang dipantau oleh SPRM yang terbabit dalam sindiket penipuan itu, SPRM memaklumkan siasatan pada masa ini lebih tertumpu kepada individu-individu terbabit dan bukan melibatkan institusi kewangan itu secara khusus.

Jelasnya, mereka adalah segelintir golongan profesional termasuk pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram beroperasi.

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 20 kakitangan bank terbabit dengan sindiket penipuan antarabangsa untuk melakukan transaksi pemindahan wang mangsa yang ditipu sehingga RM1 juta sehari.

Mereka termasuklah juruaudit dan pegawai kaunter hadapan, dipercayai berperanan memudahkan sindiket membuka akaun.

BACA JUGA (Kartun) Antara kata Hadi dan kata SPRM