Sumbangan politik terus ke parti: Betul ke tak salah Tan Sri?
Saya menerima sebuah mesej dari seorang teman baik saya yang lebih kurang berbunyi, “Salam, boleh tulis isu rasuah… tak salah kalau masuk akaun parti… yang salah masuk akaun individu.”
Apabila saya membuat carian di internet, saya dapati kenyataan tersebut pernah menjadi tajuk berita Sinar Harian pada 9 Mac lalu.
Menurut laporan berita tersebut, kenyataan itu didakwa dikeluarkan oleh YB Tan Sri Presiden Parti Bersatu yang kini sedang didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan jenayah.
Demi mengelak prejudging kes mahkamah Presiden Bersatu itu dan demi mengelak juga komen yang bersifat sub judice, saya tidak akan ulas isu merit dan demerit pertuduhan jenayah ke atas Presiden Bersatu tersebut.
Lazimnya, dalam menentukan adakah wang yang diterima oleh seseorang hatta ke atas mana-mana organisasi atau pertubuhan – tidak kira apa bentuk sekalipun organisasi atau pertubuhan itu – adalah rasuah atau tidak, mahkamah tidak sekadar melihat dan mempertimbangkan elemen ke dalam akaun manakah itu dikreditkan – sama ada ke dalam akaun peribadi atau akaun pertubuhan – semata-mata.
Faktor ke akaun manakah wang sumbangan yang juga kadangkala dipanggil “derma politik” itu dimasukkan adalah hanya salah satu faktor yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan elemen rasuah.
Akan tetapi, dengan hormat, ia bukan menjadi faktor tunggal penentu atau faktor itu sahaja menjadi faktor segala-galanya (the sole determining factor).
Orang putih juga kata ia bukan faktor yang be-all and end-all!
Setakat yang saya tahu dan faham berdasarkan pengalaman yang agak lama juga di mahkamah, mahkamah akan lihat juga faktor-faktor lain yang mungkin relevan bagi menentukan wujud atau tidak wujud elemen rasuah dalam isu “derma politik” itu.
Apakah faktor-faktor lain itu saya rasa tidak perlulah saya huraikan di sini kerana tulisan santai ini bukan penghujahan saya di mahkamah.
Keduanya, saya cuba juga untuk berlaku adil kepada Presiden Bersatu dengan menerangkan isu ini seminimum yang boleh.
Saya harap catatan ringkas dan santai ini mudah-mudahan boleh membantu teman saya tersebut dan para pembaca amnya.
BACA JUGA Pendapat| Undang-undang dan istilah Latin
Â