Tata kelola perjuangan utama PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu prinsip tata kelola yang tegas diangkat sebagai wadah utama pentadbirannya.

Presiden PKR berkenaan mahu melaksanakan tanggungjawab itu meskipun menerima banyak tentangan daripada blok parti pembangkang.

“Saya nak jawab kamu (pembangkang) sebutlah kamu, bicaralah sebanyak mungkin pun, gunalah ayat al-Quran atau hadis sebanyak mungkin.

“Kita tidak akan digugat untuk berkhidmat, tegas dan keras terhadap amalan rasuah.

“Ada orang (pembangkang) kata, Anwar ini tidak ada zikir lain, balik-balik mesti pada isu rasuah.

“Bagi saya perjuangan menentang rasuah atau good governance akan membawa negara kita menjadi lebih baik,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Malawati, hari ini.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan beliau sesekali tidak akan tergugat dengan pelbagai dakwaan yang menyatakan tindakan diambil terhadap individu tertentu sebagai berbaur politik.

Sebaliknya, beliau berkata, kuasa politik perlu digunakan sebaik mungkin supaya individu atau pihak berpengaruh dapat diambil tindakan kerana terbabit dengan jenayah seperti rasuah.

“Selama ini kuasa politik itu melindungi penjenayah besar. Kuasa politik itu melindungi perasuah-perasuah besar.

“Kuasa politik itu memperkayakan beberapa kerat penguasa dan digunakan kuasa itu melindungi mereka dan menghentam rakyat.

“Jadi, kita (Kerajaan Perpaduan) akan menggunakan kuasa (politik) itu melindungi rakyat dan menyerang perasuah,” katanya.

Kongres Nasional Khas PKR 2023 bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme diadakan bagi memberi tumpuan khusus kepada hala tuju parti dan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kira-kira 4,000 perwakilan dan pemerhati PKR dari seluruh negara hadir dalam kongres tersebut.

BACA JUGA Hasil sekat ketirisan, sekolah tahfiz dan institusi pondok dapat RM150 juta