Kerosakan perlu diperbetul, rasuah menjalar dari ‘kepala’ ke akar umbi – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mampu menjadi negara hebat namun kerosakan disebabkan rasuah telah membantutkan perkembangannya sehingga menjadi ‘lemah longlai’.
Perdana Menteri ketika berucap pada program Temu Anwar bersama anak muda hari ini berkata amalan rasuah bermula dari ‘kepala’ dan menjalar sehingga ke akar umbi.
Atas sebab itu kata beliau masalah itu perlu dibetulkan semula dari ‘kepalanya’ sebelum Malaysia Madani dapat diangkat sepenuhnya.
“Kita di Malaysia ini kita mampu jadi hebat tapi kita dah lemah longlai, gundah gulana, biarkan kerosakan berkecamuk.
“Kalau tanya saya, rasuah itu sudah ‘sustaining’. Rosak itu dari atas. Apabila kepalanya rosak, di bawah lagi rosak. Sebab tu saya cakap, kepala harus dibetulkan dahulu baru kita boleh angkat Malaysia Madani,” katanya dalam program itu di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Program itu menampilkan pelakon jelita Amelia Henderson sebagai moderator.
Anwar menegaskan, sebagai ketua negara yang bertanggungjawab menjaga tatakelola pentadbiran, beliau tidak akan berkompromi dengan orang-orang yang mencuri harta rakyat
“Mudah dibicara, sukar dilaksanakan kerana yang rasuah itu kaya raya, maha kaya, mempunyai pengaruh yang kuat.
“Mereka boleh beli ramai orang tapi saya percaya kalau anak-anak muda seperti yang saya saksikan hari ini (turut menentang rasuah), masa depan Malaysia akan cerah,” katanya.
BACA JUGA: Nak jadi aktivis politik silakan, jangan jadi ‘macai’, ‘walaun’ – PM Anwar
Â