Pendapat | Kes Jana Wibawa pesta kezaliman? Ini jawapan untuk Haji Hadi

Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN

PENDAPAT | Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin (TSMY) telah dituduh di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Beliau telah dituduh dengan empat pertuduhan di bawah seksyen yang sama.

Kita ambil satu contoh pertuduhan itu iaitu pertuduhan pertama:

“Bahawa kamu di antara 8 Februari 2021 dan 25 Februari 2021, di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya, sebagai pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, telah menggunakan kedudukan kamu untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000.00 daripada Bukhari Equity Sdn Bhd bagi sekutu kamu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia, oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.”

Dalam hal ini, kes Dato’ Sri Mohd Najib Hj Abd Razak v PP [2022] 1 MLRA 354 (“Kes SRC”) boleh dijadikan sandaran untuk memahami maksud Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 ini. Ini kerana Najib juga telah dituduh menggunakan seksyen yang sama. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan telah membuat penjelasan yang terperinci berkaitan pemahaman seksyen ini.

Seksyen 23 berbunyi seperti berikut:

KESALAHAN MENGGUNAKAN JAWATAN ATAU KEDUDUKAN UNTUK SUAPAN.

(1) Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan.

(2) Bagi maksud subseksyen (1), seseorang pegawai badan awam hendaklah dianggap, sehingga akasnya dibuktikan, telah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, apabila dia membuat apa-apa keputusan, atau mengambil apa-apa tindakan, berhubungan dengan apa-apa perkara yang mengenainya pegawai itu, atau mana-mana saudara atau sekutunya, mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Oleh itu, di bawah Seksyen 23 (S. 23) terdapat dua elemen yang perlu dibuktikan iaitu;

1. Tertuduh adalah pegawai badan awam.
2. Tertuduh telah menggunakan sama ada jawatan atau kedudukannya untuk suapan (gratification) diri atau saudaranya atau bersekutu.

Dalam kes SRC, Najib telah memenuhi elemen pertama sebagai pegawai badan awam atas sebab beliau adalah ahli pentadbiran, Ahli Parlimen dan sebagai orang yang menerima imbuhan daripada dana awam. Terdapat banyak bukti yang membuktikan fakta bahawa Najib adalah pada masa yang material sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Ahli Parlimen, dan sedang menerima imbuhan daripada dana awam.

Suapan

Berkaitan elemen kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk suapan sama ada untuk dirinya sendiri, saudaranya atau rakan sekutunya, Mahkamah telah menerima hujahan pendakwa bahawa di bawah Seksyen 23(2) pendakwa boleh menggunakan anggapan statutori (rebuttable statutory presumption) bahawa seseorang tertuduh dianggap mempunyai menggunakan kedudukannya untuk suapan apabila dia membuat apa-apa keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan apa-apa perkara yang dia mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mahkamah menjelaskan dalam kes SRC,

“[109] Oleh yang demikian, dalam kes ini, anggapan tertuduh telah menggunakan kedudukannya untuk suapan akan terpakai jika PIHAK PENDAKWAAN BOLEH MENUNJUKKAN BAHAWA TERTUDUH TELAH MEMBUAT APA-APA KEPUTUSAN ATAU MENGAMBIL APA-APA TINDAKAN BERKENAAN DENGAN APA-APA PERKARA YANG TERTUDUH MEMPUNYAI KEPENTINGAN.”

“[110] Sebagai penekanan, oleh itu terdapat dua aspek yang berkaitan dengan anggapan ini. Yang pertama ialah sama ada terdapat keputusan atau tindakan yang diambil oleh tertuduh dan yang kedua ialah sama ada sebarang keputusan atau tindakan sedemikian berkenaan dengan perkara yang tertuduh mempunyai kepentingan.”

Isu pada hari ini dalam kes rasuah Jana Wibawa ini adalah berkaitan dengan maksud “kepentingan” (interest). Akta SPRM tidak memberikan sebarang definisi kepada maksud kepentingan. Walau bagaimanapun, dalam kes SRC Mahkamah Rayuan telah membuat tafsiran mengenai perkataan itu.

Mahkamah menyatakan:

[108] Perlu diingat bahawa perkataan ‘kepentingan’ dalam Seksyen 23 Akta SPRM tidak ditakrifkan mengikut undang-undang. WALAU BAGAIMANAPUN, DINYATAKAN DALAM S 23(2) AKTA BAHAWA KEPENTINGAN BOLEH SAMA ADA SECARA LANGSUNG ATAU TIDAK LANGSUNG.

[123] Dengan perkataan dan bahasa s 23(1) Akta SPRM yang dibaca bersama dengan s 23(2) Akta yang sama, KAMI BERPENDAPAT BAHAWA KESALAHAN DI BAWAH S 23 AKTA SPRM (KESALAHAN MENGGUNAKAN JAWATAN ATAU JAWATAN UNTUK SUAPAN) ADALAH LENGKAP SEBAIK SAHAJA TERTUDUH MENGAMBIL SEBARANG KEPUTUSAN ATAU TINDAKAN YANG MANA TERTUDUH MEMPUNYAI KEPENTINGAN. PENERIMAAN SUAPAN BUKANLAH ELEMEN KESALAHAN DAN TIDAK PERLU BAGI PIHAK PENDAKWAAN UNTUK MEMBUKTIKAN PERKARA YANG SAMA.

[108] It is worth noting that the word ‘interest’ in S. 23 of the MACC Act is not statutorily defined. However, it is stated in S. 23(2) of the Act that the interest can be either direct or indirect.

[123] By the very wording and language of s 23(1) of the MACC Act reading together with s 23(2) of the same Act, we are of the view that the offence under s 23 of the MACC Act (offence of using office or position for gratification) is complete once the accused took any decisions or actions in which the accused has an interest. The receipt of gratification is not an element of the offence and it is unnecessary for the prosecution to prove the same.

Berdasarkan kedudukan undang-undang di atas, boleh dibuat kesimpulan berikut:

Elemen pertama S. 23(1) itu ke atas TSMY adalah sudah jelas terbukti memandangkan beliau adalah ahli pentadbiran pegawai badan awam selaku Perdana Menteri yang menerima imbuhan daripada dana awam.

Elemen kedua S. 23(1) itu pula bergantung kepada bukti-bukti yang bakal dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa TSMY telah menggunakan kedudukannya untuk satu suapan wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhari Equity Sdn Bhd bagi sekutunya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Keadaan tidak berpihak kepada TSMY kerana S. 23(2) membenarkan pihak pendakwaan menggunakan anggapan statutori iaitu seseorang tertuduh dianggap mempunyai menggunakan kedudukannya untuk suapan apabila dia membuat apa-apa keputusan berhubung denganperkara yang dia mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kepentingan 

BERSATU adalah parti yang mana SMY mempunyai kepentingan atas kedudukannya sebagai Presiden parti. Adalah tidak munasabah untuk menganggap seorang Presiden tidak mempunyai kepentingan ke atas parti yang diwakilinya.

Penerimaan RM200 juta bukanlah satu jumlah yang kecil. Adalah satu perkara yang aneh dan membingungkan jika sesebuah syarikat memberikan wang sebegitu besar sebagai derma politik semata-mata tanpa apa-apa imbalan balas. Pihak pendakwa pastinya akan membawa bukti-bukti untuk menunjukkan syarikat itu mendapat imbalan balas.

Berkaitan dengan dakwaan TSMY bahawa tiada satu sen pun dimasukkan ke dalam akaunnya itu bukanlah satu pembelaan di bawah S. 23(1) ini. Seksyen ini tidak mensyaratkan untuk tertuduh menerima wang. Cukuplah menjadi satu kesalahan sekiranya tertuduh itu mengambil sebarang keputusan yang mana beliau mempunyai kepentingan.

Oleh itu, secara keseluruhannya boleh dikatakan kedudukan pihak pembelaan agak sukar dalam membela kes ini melainkan jika pasukan pembelaan dapat mewujudkan satu keraguan yang munasabah bahawa tertuduh itu tiada kepentingan dalam BERSATU atau tiada sebarang tindakan dibuat oleh TSMY terhadap Bukhari Equity.

Satu hal lagi, Presiden PAS menyatakan,

“Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata. Berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih. Perkara ini berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.

“Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.

“Lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan.

“Terang lagi bersuluh bahawa berlaku tindakan zalim dengan mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih, sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan.”

Seperti mana yang dihuraikan di atas, ada kes yang kuat ke atas TSMY berkaitan kes rasuah Jana Wibawa ini di bawah S. 23(1) Akta SPRM 2009. Bagaimanakah pula Presiden PAS boleh membuat dakwaan bahawa tindakan pendakwaan ini adalah satu pesta kezaliman.

Oleh itu, secara keseluruhannya boleh dikatakan kedudukan pihak pembelaan agak sukar dalam membela kes ini melainkan jika pasukan pembelaan dapat mewujudkan satu keraguan yang munasabah bahawa tertuduh itu tiada kepentingan dalam BERSATU atau tiada sebarang tindakan dibuat oleh TSMY terhadap Bukhari Equity.

Tindakan itu akan menjadi zalim sekiranya TSMY tidak diberikan hak untuk membela diri dan terus dipenjarakan. Sedangkan dalam kes ini terkait wang RM200 juta yang sepatutnya menjadi hak kerajaan tetapi telah dijadikan hak parti sendiri.

Apakah ini yang ingin dikatakan zalim padahal inilah yang disuruh oleh Islam. Malah, zaman Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz dahulu pun sanggup memadamkan api lampu pelita yang menggunakan minyak daripada kerajaan.

Malah, suatu ketika dahulu, Almarhum Datuk Nik Aziz pun pernah melakukan hal yang sama apabila beliau memadamkan suis lampu dalam pejabatnya kerana khuatir termakan harta kerajaan.

Ini bukan setakat lampu elektrik sahaja bahkan ia melibatkan wang yang sebegitu besar berjumlah RM200 juta. Untuk perbandingan, Hospital Shah Alam yang begitu besar pun hanya berjumlah RM300 juta untuk pembinaannya dahulu. Maknanya, wang RM200 juta untuk satu parti politik bukanlah jumlah yang kecil.

Adakah Presiden PAS ingin menghantar mesej bahawa mana-mana parti politik boleh memerintah Malaysia dan mengambil kesempatan dalam kedudukannya sebagai Perdana Menteri atau Menteri untuk membaham wang kerajaan dengan cara sebegini?

Justeru itu, biarlah TSMY mengambil peluang yang ada ini untuk membela dirinya dan pihak-pihak lain tidak perlu membuat sebarang kenyataan politik yang tidak berasas.

  • Dr Zulqarnain Lukman merupakan seorang peguambela dan peguamcara