Pengeluaran telur pulih hujung tahun, henti import bila-bila masa – Menteri

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjangka pengeluaran bekalan telur ayam dalam negara kembali pulih menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu didorong oleh usaha kerajaan melalui kementerian yang terlibat untuk memudahkan kemasukan pekerja di sektor pertanian dan lain-lain sejak Januari.

“Insya-Allah pada tahun ini pengeluaran telur ayam mencukupi dan mampu sampai ke tahap eksport pada hujung tahun,” katanya dalam majlis bersama diaspora Malaysia di Jakarta, Indonesia semalam, lapor Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata risiko termasuk perubahan iklim dan penyakit akan terus diberi perhatian kerana boleh memberi kesan kepada pengeluaran.

Pada 16 Disember lepas kementerian bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran itu akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

“Setelah kemasukan telur ayam import, bekalan sekarang mulai stabil dan di peringkat ini kita boleh hentikan import itu bila-bila masa sebab kita mahu utamakan pengelur telur tempatan,” kata Mohamad.

Beliau dan pegawai tinggi kementerian berada di Jakarta sempena lawatan kerja tiga hari sehingga Isnin untuk melihat pendekatan baharu yang diguna pakai Indonesia dalam meningkatkan hasil pertanian padi.

Mohamad berkata mereka berpeluang meninjau kejayaan pesawah yang penghasilannya mencukupi untuk seluruh rakyat Indonesia berjumlah 276 juta.

“Ini akan memberi semangat kepada petani kita untuk berjaya sekiranya mereka berkerja seperti petani di sini meskipun subsidi yang diberikan lebih rendah berbanding di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau kementerian mahu mempercepatkan tahap Tahap Sara Diri (SSL) beras negara daripada 65 peratus sekarang kepada 75 peratus menjelang 2025 dan seterusnya 80 peratus pada 2030.

“Ia akan tercapai jika hasil ditingkatkan kepada purata tujuh tan metrik per hektar daripada lima tan metrik per hektar,” katanya sambil menambah ada beberapa tempat telah mencapai 10 tan metrik per hektar.

BACA JUGA: Amerika pun hadapi masalah telur tapi Malaysia jamin bekalan cukup – Mat Sabu