Pengundi muda sudah beralih kepada PH, peluang cerah menang tiga negeri – PKR

PKR yakin sokongan pengundi muda sudah beralih kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus memberikan peluang cerah untuk gabungan itu mempertahankan kedudukan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang Julai ini.

Timbalan Presidennya Rafizi Ramli berkata dengan berbaki 100 hari sebelum PRN bermula pihaknya melihat perubahan sokongan dalam kalangan rakyat kepada pembangkang sebagaimana dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) tidak begitu ketara di ketiga-tiga negeri tersebut.

“Data kini yang telah diperolehi telah memperlihatkan sokongan pengundi terutama dalam kalangan anak muda beralih ke PH dan Kerajaan Perpaduan di negeri-negeri Pantai Barat.

“Jadi kita akan terus bersedia dan perkemaskan persediaan kita untuk masuk PRN dengan lebih tenang,” katanya semasa ucapan penggulungan Kongres Khas Nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.

Kongres khas yang bertema Malaysia Madani: Pelaksanaan sebuah Idealisme itu diadakan bagi membincangkan persiapan menjelang PRN nanti dan hala tuju parti.

Sebelum ini Menteri Besar dan Ketua Menteri melibatkan enam buah negeri sepakat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN menjelang Julai.

Perbincangan melibatkan blok Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional itu dibuat melibatkan pemimpin negeri terdiri daripada negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

BACA JUGA: PKR palu mod serang kepada pembangkang yang mahu jatuhkan kerajaan