Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah terima insentif RM20 melalui e-dompet

Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah akan menerima insentif sebanyak RM20 seorang melalui plaform e-dompet dengan melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2 juta.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Senator Fuziah Salleh berkata insentif itu diberikan kepada 1,000 pengunjung terawal di bazar terpilih melalui operator atau penyedia platform e-dompet yang berkerjasama dengan pihak kementerian.

“Setiap negeri kita akan laksanakan sebanyak enam kali, ini bermakna sebanyak 6,000 pengunjung akan menerima manfaat daripada inisiatif itu di setiap negeri, dengan pengguna hanya akan dapat sekali sahaja insentif berkenaan.

“Di samping membantu mengurangkan kos sara hidup, usaha ini juga ke arah mendidik masyarakat berbelanja menggunakan e-dompet, sekali gus menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai…mereka boleh dapat insentif itu ketika berkunjung ke bazar Ramadan nanti,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk Sempena Ramadan di Pasar Tani di Kuantan hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang Saiful Sadri.

Orang ramai berpusu-pusu di Pasar Tani UTC, Kuantan untuk membeli barangan harian menjelang beberapa hari lagi kedatangan Ramadan pada 19 Mac 2023. Foto FAMA Pahang

Fuziah memberitahu setakat ini sebanyak 29 bazar telah berdaftar untuk menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah dan kementerian menyasarkan 50 lokasi di seluruh negara untuk mengambil bahagian dalam program itu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan peniaga Bazar Ramadan supaya mempamerkan harga makanan sepanjang beroperasi nanti bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sementara itu, Saiful berkata FAMA menyasarkan nilai jualan lebih RM3 juta menerusi Program Jualan Ramadan Madani yang akan dianjurkan sepanjang bulan puasa di 18 lokasi di seluruh Pahang.

Terdahulu Fuziah dan Saiful bersama-sama menyertai program gotong memasak bubur lambuk dan mengagihkannya kepada para pengunjung di Pasar Tani UTC Kuantan hari ini.

Sebanyak 17 kawah bubur lambuk telah dimasak secara gotong-royong oleh jawatankuasa dan peserta Pasar Tani UTC, Kuantan dengan sebanyak 4,000 bekas habis diedarkan kepada orang ramai.

Program yang dianjurkan secara tahunan ini telah masuk tahun yang ke 18 diadakan di Pasar Tani UTC Kuantan ini.

BACA JUGA: Pasukan jihad tangani inflasi tidak diteruskan, kerajaan usaha tingkat kuasa belanja