Petisyen Parlimen Marang: Hadi Awang hadir ke Mahkamah buat pertama kali

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu buat kali pertama bagi memberi keterangan berhubung Petisyen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Marang.

Turut dilihat hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah yang hadir susulan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada 16 Mac lalu.

Kedua-duanya tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi, memetik Sinar Harian.

Mohd Nor tampil ke mahkamah susulan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu berikutan kegagalan beliau hadir untuk memberi keterangan bersabit kes itu pada Khamis lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan perintah itu selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.

Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Abdul Hadi (responden) dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira Othman sebagai pempetisyen secara dalam talian.

Baca juga: Pengundi muda sudah beralih kepada PH, peluang cerah menang tiga negeri – PKR