Teladani kejatuhan kerajaan PN, gelojoh merebut habuan kekuasaan – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kegelojohan merebut habuan kekuasaan dan jatuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus diteladani oleh parti kerajaan hari ini.
Ketika mengingatkan tentang ‘ketelanjuran yang meruntuhkan’, Presiden PKR berkata sebagai wadah yang memperjuangkan kebebasan dan reformasi, ahli parti tidak seharusnya terpana dengan kilauan kuasa dan kedudukan.
“Setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan, terdapat sebilangan anggota dipilih menggalas peranan dalam pemerintahan. Masih ramai lagi yang tidak mempunyai kedudukan dan pangkat dalam kerajaan.
“Jawatan meski penting bukanlah segalanya dalam perjuangan. Kisah Perang Uhud wajar dijadikan pedoman dalam perjuangan siasah kita sebagai kerajaan yang masih baru ini,” tegas Anwar dalam kenyataan mengenai penggulungannya dalam Kongres Khas Nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.
Dalam penggulungannya, Anwar berkata beliau memberi penekanan ketika membicarakan soal paksi perjuangan, kuasa yang diamanahkan mesti diarahkan kepada usaha menambah baik serta menjelmakan islah serta mempertahankan tatakelola yang baik (good governance).
“Saya turut bercakap soal permusuhan di mana gejala mencerca dan menuduh tanpa asas untuk menimbulkan permusuhan khususnya menggunakan dalil agama tidak boleh diterima.
“Namun begitu, tindakan penguat kuasa dalam isu rasuah adalah berdasarkan asas fakta dan tiada niat untuk menzalimi atau bermusuh dengan mana-mana pihak,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan perpaduan bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna namun formula dan usaha terbaik telah dilakukan setakat ini yang banyak tidak dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Kerjasama yang digalas bersama dengan parti yang lain setakat ini ternyata positif dan meyakinkan. Kerajaan ini juga tidak akan berkompromi dengan provokasi perkauman-agama yang boleh meruntuhkan usaha jangka panjang Kerajaan Perpaduan menyelamatkan negara ini,” ujarnya.
Dalam kerangka sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata nasib golongan massa seperti pekebun kecil, pesawah dan miskin tegar adalah keutamaan dan tumpuan semasa.
“Bencana seperti banjir juga diberi perhatian segera oleh kerajaan tanpa tangguh dalam menyalurkan bantuan pantas ke mangsa yang terkesan. Institusi yang dekat dengan rakyat seperti sekolah, klinik dan institusi agama seperti tahfiz, Tabung Haji kini mendapat perhatian penting,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga menyeru agar seluruh pimpinan dan anggota parti kekal dalam menyampaikan hujah yang didukung fakta dan penuh hikmah serta kasih sayang serta berbahas dengan cara yang lebih baik.
BACA JUGA: Tata kelola perjuangan utama PM Anwar